DLP (Dual Language Programme): Kebaikan dan Kelemahan

Penulis: Mas Elizawati Mohammad Ali
Jika anak anda pergi ke sekolah kebangsaan, kemungkinan besar anda pernah mendengar tentang istilah popular (buzzword), atau lebih tepat, akronim yang dipanggil DLP. Saya hanya mengetahui tentang DLP selepas pulang dari Brunei pada akhir 2017 dan memutuskan untuk mendaftarkan anak-anak saya ke dalam sekolah kebangsaan. Pada mulanya, saya kagum, malah bangga, kerana program sebegini wujud dalam sistem persekolahan di Malaysia sekarang. Bagi saya, ia menunjukkan kesanggupan kerajaan untuk memuaskan kehendak segmen pelajar yang lebih selesa belajar dalam bahasa Inggeris. Namun, selepas mengetahui lebih lanjut tentang program ini, saya tidak dapat mengelak daripada memerhatikan beberapa kelemahan yang datang dengan DLP.
Jadi apa itu DLP? DLP, yang bermaksud Program Dwibahasa (atau dalam Bahasa Inggeris, Dual Language Programme), telah dimulakan dan diperkenalkan kepada beberapa sekolah perintis kebangsaan kerajaan Malaysia pada tahun 2016. Ia adalah sebahagian inisiatif Kementerian Pendidikan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) (atau dalam Bahasa Inggeris, Empower Bahasa Malaysia and Strengthen English Policy). Pada lazimnya, ia diandaikan bahawa DLP adalah kelahiran semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) (Teaching and Learning of Science and Mathematics in English) yang telah dimansuhkan pada 2014 selepas banyak bantahan. Walau bagaimanapun, DLP berbeza dengan PPSMI dengan memberi kelonggaran kepada semua pihak yang terlibat iaitu pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah untuk memilih bahasa pengantar pilihan. Dalam erti kata lain, DLP adalah secara sukarela untuk sekolah melaksanakan dan pelajar mendaftar, tidak seperti pendahulunya, PPSMI yang bersifat wajib.
Secara jujur, DLP sememangnya datang sebagai penyelamat kehidupan (lifesaver) kepada para ibubapa yang menyokong kesinambungan PPSMI dalam apa jua bentuk yang mungkin mereka dapat. Walaupun terdapat kontroversi dan perdebatan mengenai pelaksanaannya, sejumlah 22,960 pelajar rendah dan menengah telah mendaftar ke dalam DLP menjelang akhir tahun 2018. Secara asas, DLP mempunyai dua tujuan: (1) meredakan kebimbangan ibubapa dengan anak-anak yang lebih selesa dan sering bertutur di dalam bahasa Inggeris, dan (2) menyediakan pelajar untuk pendidikan tinggi mereka di mana mod pengajaran dan kebanyakan rujukan dikarya di dalam bahasa Inggeris. Hasilnya, ia meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan kesenangan mereka mendapat kerja pada masa hadapan.

Bagi sesebuah sekolah layak untuk melaksanakan DLP, ia perlu memenuhi empat kriteria berikut: (a) mempunyai sumber yang mencukupi seperti alat bantu mengajar dan bahan rujukan; (b) pengetua dan para guru bersedia untuk melantaskan program tersebut; (c) sokongan daripada ibubapa dan penjaga dan (d) peratus pencapaian sekolah dalam Bahasa Melayu untuk UPSR atau SPM mestilah sama atau lebih baik daripada purata kebangsaan. Setelah sekolah memenuhi kriteria ketat untuk menjalankan DLP, guru bertugas kemudiannya boleh mengendalikan mata pelajaran Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam bahasa Inggeris. Seperti yang saya sudah nyatakan sebelum ini, DLP memenuhi keperluan pelajar yang lebih suka belajar dalam bahasa Inggeris. Ia juga selaras dengan pendekatan program ini iaitu mendedahkan pelajar kepada masa pembelajaran dan pengajaran yang lebih lama di dalam bahasa Inggeris. Sememangnya, peratusan tempoh pendedahan melebihi kadar semasa (15-20%) yang diperuntukkan untuk matapelajaran bahasa Inggeris sahaja. Walaupun DLP hanya meliputi subjek berkaitan STEM, kepelbagaian subjek ini adalah elemen teras yang akan membina kecekapan akademik pelajar. Penyelidikan juga telah menunjukkan bahawa pelajar yang berdwibahasa mempunyai daya ingatan yang lebih baik dan rentang perhatian yang lebih fokus.
Namun, bila diteliti dengan lebih dekat, pelaksanaan DLP telah dijejaskan dengan masalah kekurangan guru berkompetensi yang boleh mengajar sesuatu mata pelajaran sepenuhnya (jika tidak, kebanyakannya) dalam bahasa Inggeris. Malah, sesetengah guru berbalik kepada bertutur semula dalam bahasa ibunda mereka ketika mengajar di dalam kelas, lalu secara tidak sengaja menyebabkan kmurid keliru tentang istilah atau terma yang ditulis dalam buku teks berbahasa Inggeris. Akhirnya, murid perlu mempelajari semula konsep itu sendiri, selalunya dengan buku rujukan DLP mereka ataupun dibimbing oleh para penjaga atau tutor yang diupah secara berasingan.
Keadaan ini mencelakan tujuan DLP yang sepatutnya diajar di dalam sekolah oleh guru yang berupaya melaksanakan tugas mereka. Yang menyedihkan, guru yang mampu bertutur, apatah lagi mengajar, dalam bahasa Inggeris memang tidak banyak bilangannya. Melatih guru untuk menyertai DLP mengambil masa yang agak lama dan tidak boleh dilakukan dengan secara tergesa-gesa. Sejak DLP diperkenalkan kepada sekolah, guru mungkin tidak dapat menerima latihan sepenuhnya kerana mereka perlu mengambil tugasan secepat mungkin. Penyaringan guru yang betul-betul sesuai dengan kelas DLP mesti mengambil kira keupayaan guru untuk mengendalikan seluruh sesi kelas di dalam bahasa Inggeris. Proses temuduga yang ketat dan kelas olok-olok (mock class) perlu dilakukan sebelum menyerahkan mata pelajaran DLP kepada seorang guru. Seperti yang dimaklumkan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, para guru telahpun memberi maklumbalas supaya sokongan berterusan diberikan daripada Kementerian Pendidikan tentang bagaimana mereka boleh mendapatkan pedagogi yang diingini dalam bahasa Inggeris.

Satu lagi kelemahan program ini ialah kewujudan tahap daya saing di antara murid (malah ibubapa) untuk memasuki kelas DLP. Situasi ini agak membebankan terutamanya di peringkat sekolah menengah kerana bilangan kelas DLP yang tersedia adalah sangat terhad. Disebabkan ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan untuk DLP, masalah ini kian berlaku dan telah diramalkan akan mencapai hadnya pada tahun depan. Di samping itu, saya mendapati kriteria untuk layak masuk ke dalam kelas DLP agak ketat dan berat sebelah. Sebagai contoh, bila tumpuan diberikan kepada kanak-kanak pintar dan bukan kepada orang lain yang benar-benar berminat untuk mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris, potensi program ini akan terjejas. Ujian yang dirancang teliti dapat menilai secara objektif tentang penguasaan bahasa Inggeris seseorang pelajar, dan seterusnya memastikan kemasukan ke dalam DLP bebas daripada prasangka dan pilih kasih.
Walaupun DLP memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan semula jadi untuk belajar di dalam bahasa Inggeris, ia juga telah menyerlahkan jurang tahap penguasaan bahasa Inggeris antara pelajar di kawasan luar bandar dengan mereka yang tinggal di bandar. Perbezaan yang semakin meluas ini agak membimbangkan kerana ia secara terang-terangan mendiskriminasi sekolah luar bandar yang tidak terpilih untuk menyertai projek perintis DLP ketika ia mula-mula diperkenalkan. Ini bercanggah dengan matlamat negara, seperti yang digariskan dalam Pembangunan Matlamat Lestari (Sustainable Goals Development), yang menekankan bahawa setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk mengakses pendidikan berkualiti.
Pengenalan DLP di sekolah rendah dan menengah telah menunjukkan trend yang positif dengan permintaan untuk kelas tersebut semakin meningkat di seluruh negara, lebih-lebih lagi di kawasan bandar. Meskipun program ini ditimpa beberapa masalah, DLP telah memuaskan ceruk (niche) dalam komuniti tempatan yang mahu memperjuangkan pengukuhan bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar kepada bidang STEM yang mempunyai pelbagai cabang pengaplikasian. Justeru itu, pengurusan dan perancangan DLP yang lemah oleh pihak atasan serta ketidakpadanan dalam nisbah pelajar kepada kelas (student-to-class ratio) perlu ditangani dengan kadar segera. Bila solusi jangka panjang akhirnya menjadi kenyataan, DLP akan mewujudkan banyak laluan dan peluang kepada pelajar yang sudah bersedia untuk membuat Malaysia sangat bangga di platform antarabangsa.