Keadilan Sosial dalam Pendidikan: Pengalaman Guru Sekolah Antarabangsa
Juliyana Junaidi (Malaysia)
Masih segar dalam ingatan perbualan bersama rakan sekerja sewaktu minggu kedua bergelar pendidik,
“There’s an interesting lecture about children’s education this weekend, would you be interested to attend?”
“Oh, it’s about children? Hm, I don’t think I’m interested as I don’t have any kid yet” aku membalas.
“Our students are also our kids remember?”
Penyataan rakan sekerja yang membuatkan aku sedikit tersentak. Betapa besar sebenarnya peranan aku sebagai pendidik kepada anak-anak kecil ini. Sewaktu itu, nurani hanya memberitahu bahawa aku di sini hanyalah untuk memenuhi tuntutan kerja, belum benar-benar menghayati kesan yang aku bakal tinggalkan ke dalam pembentukan sahsiah mereka.
Penyertaan aku sebagai pendidik di sebuah sekolah Islam antarabangsa dan mengajar pelajar lingkungan 7 ke 12 tahun benar-benar merupakan pengalaman baru untukku. Minggu pertama itu benar-benar mencabar kerana aku ditugaskan untuk menggantikan seorang guru lelaki yang begitu menyoronokkan dimata anak-anak kecil itu. Terserlah kesedihan para pelajar tersebut apabila beliau memaklumkan yang beliau tidak akan lagi mengajar mereka dan akulah yang bakal menggantikan tempat beliau selepas ini. Ada yang meraung, menangis menghentak-hentakkan kaki, memeluk erat beliau supaya tidak meninggalkan sekolah. Dan apabila aku mula menggantikan tempat beliau, anak sekecil 7 tahun itu mulai memprotes “I don’t want you to teach us! I want him to teach us!” Penyataan yang benar-benar mengguris hati. Tapi aku faham bahawa mereka masih anak kecil dan pertalian yang mereka telah bina adalah amat erat. Sejak peristiwa itu berlaku, aku berazam untuk menjadi seorang guru yang disayangi, namun masih tegas membentuk peribadi mereka.
Ketika pantauan daripada penyelaras dijalankan, aku menerima komen penambahbaikan yang perlu aku lakukan dalam pengendalian kelas dan pembahagian masa pelajaran. Aku diminta untuk mengawal intonasi dan kelantangan suara ketika mengajar, membahagikan masa dengan baik dan sebagainya. Terlalu banyak yang aku belajar daripada rakan sekerjaku memandangkan ini merupakan pengalaman pertama aku mengajar. Sebelum ini aku susah mengawal semua itu namun apabila masa berlalu, banyak perkara yang telah aku perbaiki sepanjang tempoh menjadi seorang guru.
Dalam setiap sesi pembelajaran, aku cuba menerapkan elemen manusiawi dan mengutamakan emosi para pelajar. Walaupun mungkin aku tidak perlu risau akan keperluan material mereka memandangkan kebanyakkan daripada mereka berlatarbelakangkan kelompok T20, namun aku tahu apa yang paling mereka perlu adalah perhatian dan kasih sayang. Bukan sedikit jumlah anak-anak yang mengadu ibubapa mereka tidak meluangkan banyak masa bersama mereka. Anak-anak ini tidak mempunyai kerisauan untuk keperluan diri seperti makanan,dan pakaian mereka untuk dipenuhi tetapi jiwa mereka ada lompongnya dan meronta meminta dipenuhi.
Ada dalam kalangan mereka mempunyai kebiasaan untuk menceritakan jumlah harta yang ibubapa mereka miliki dalam bentuk keluasan dan bilangan rumah, bilangan dan jenis kenderaan yang dimiliki, dan percutian mewah yang mereka selalu lakukan di penghujung tahun, namun berulang kali aku akan tekankan bahawa itu semua tidak memberikan definisi mereka sebagai manusia, tetapi akhlak dan khidmat mereka kepada masyarakat lah yang akan menentukan status mereka disisi Tuhan.
Bukankah Nabi Muhammad telah mengutarakan “Khairunnas Anfa’uhum Linnas”, “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain” dan juga menyatakan bahawa “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa mahupun harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kalian”
Perkara ini amat penting untuk diterapkan kepada mereka yang materinya serba-serbi mencukupi. Perkataan syukur perlu selalu meniti dibibir memandangkan cabaran yang mereka hadapi itu berkemungkinan tidak sehebat rakan seumur mereka yang masih tidak dapat bersekolah. Anak-anak ini berada dalam keberuntungan kerana mungkin jalan hidup mereka dari sudut pembelajaran telah diatur oleh ibu bapa mereka. Mungkin juga ibu bapa mereka sudah ada bayangan kerjaya yang anak-anak mereka akan ceburi kelak. Barangkali mereka bakal mewariskan syarikat perusahaan milik bapanya, dan mungkin juga kerjaya-kerjaya yang lain. Berbeza dengan kelompok B40 yang seolah jalannya berduri dipenuhi ketidakadilan sosial dan peluang yang tidak saksama.
Pesanan yang dapat aku beri kepada mereka seawal usia ini hanyalah untuk berlaku adil terhadap semua. Sekiranya mereka menjadi CEO di sebuah syarikat terkemuka, berikanlah hak yang sepatutnya kepada para pekerja. Gaji yang setimpal dengan kerja, hak-hak pekerja yang lain, semuanya telah aku berikan contoh kepada mereka. Jika kelak mereka menjadi ahli politik pula, ketahuilah mereka betapa beratnya tanggungjawab yang akan dipikul dan dipersoal di akhirat kelak. Perjuangkanlah hak-hak rakyat dan bukan hak parti apatah lagi hak diri sendiri. Mungkin mereka masih kecil untuk memahami semua ini, tapi bukankah pesan-pesan kecil ini yang akan selalu menempel di kepala sekiranya ia selalu diratibkan seawal usia? Pembentukan sahsiah bermula muda, seiring dengan pepatah melayu yang mengatakan “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Antara perkara lain yang dipelajari sepanjang menjadi guru kepada anak-anak kecil ini juga adalah berkenaan kesanggupan ibu bapa mereka untuk menyertai pameran yang menjadi acara tahunan sekolah. Mereka menyediakan kostum untuk anak-anak, memberikan sokongan dengan melatih anak-anak untuk membuat persembahan dan sebagainya. Tidak dapat tidak untuk aku sekali lagi membandingkan mereka dengan golongan ibubapa dalam kalangan B40. Barangkali mereka boleh berbuat demikian kerana keperluan mereka cukup, dan mereka sendiri adalah dalam kalangan mereka yang berpendidikan. Hal ini berbeza dengan ibu bapa dalam golongan B40 yang mungkin perlu melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk memenuhi keperluan asas keluarga. Lalu tiada masa yang secukupnya yang dapat mereka luangkan untuk anak-anak. Sekiranya pekerjaan mereka itu dari industri berat mahupun perkhidmatan yang memerlukan tenaga fizikal berbanding mental, mereka akan sudah keletihan dan hanya ingin pulang ke rumah untuk berehat. Hal ini memberikan impak negatif terhadap perkembangan akademik anak-anak apabila ibu bapa mereka tidak dapat membantu dari sudut bimbingan kerja rumah dan sebagainya. Berbeza dengan ibubapa yang bekerja dalam bilik yang berhawa dingin, dan tidak memerlukan sehingga dua atau tiga pekerjaan hanya untuk memenuhi keperluan asas. Mungkin ada yang kata wang itu bukanlah raja, tetapi hakikatnya, kedudukan kewanganlah yang kukuh lah yang banyak menyelesaikan pelbagai perkara.
Dalam acara tersebut, dua buah kelas mewakili mana-mana negara yang dipilih. Di dalam acara ini, kelas kami telah memilih Hagia Sophia, Turki untuk dipamerkan.
Kini, sudah setahun aku meninggalkan profesion ini untuk mencapai cita-cita peribadi. Namun sengaja aku mencipta akaun sosial media supaya para pelajar masih boleh berhubung denganku, terutamanya sekiranya mereka ingin menanyakan aku soalan yang mereka rasa khuatir untuk diutarakan kepada individu yang lain. Bukan sahaja hubungan aku dan para pelajar kekal hingga kini, malah ibu bapa mereka juga tidak putus-putus mendoakan yang terbaik untukku dan berterima kasih akan khidmat dan kasih sayang yang telah aku curahkan kepada anak-anak mereka dahulu. Di akaun ini juga aku kadangkala menuatnaik pesanan-pesanan berbentuk poster, mahupun video, yang aku ingin sampaikan kepada mereka walaupun kini sudah tidak lagi bergelar seorang guru. Jiwa pendidik yang telah mekar dalam diri membuatkan aku rasa bertanggungjawab untuk kerap menasihati dan membimbing mereka walaupun daripada jauh.
Aku benar-benar ikhlas inginkan anak bangsa ini untuk menjadi yang terbaik. Cendekiawan penyuluh masyarakat, ahli perniagaan yang mengingati akhirat dan memberikan hak yang sepatutnya kepada pekerja, peguam yang memperjuangkan hak-hak orang miskin, mahupun ahli politik yang merangka dasar yang bermanfaat untuk segenap lapisan masyarakat. Hanya doa yang dapat aku panjatkan kepada Allah buat mereka agar menjadi insan yang berguna untuk masyarakat.