Buku-Buku Terlaris (Bestseller) Tahun 2022
Mas Elizawati Mohammad Ali (Malaysia)
Memandangkan tahun 2022 sudah sampai ke penghujungnya, izinkanlah saya mengambil kesempatan ini untuk menyenaraikan beberapa buah buku yang telah menjadi laris (bestseller) di Malaysia dan Singapura. Buku-buku yang menjadi pilihan ramai kebanyakannya berada dalam lingkungan genre fiksyen dan bukan fiksyen. Beberapa buku tersebut berunsur nasionalistik atau mengecap kemasyhuran anak watan manakala yang lain adalah kisah-kisah yang telah diilhamkan oleh tukang kata (wordsmith) yang sungguh berbakat.
Di Malaysia, buku-buju bertema romantik, misteri, ketuhanan dan pembaikan diri (self-improvement) menjadi pilihan para pembaca yang arif. Tanpa berlengah-lengah lagi, berikut adalah senarai buku terlaris yang telah dipilih untuk Malaysia:
(1) It Starts With Us oleh Colleen Hoover – Sekuel kepada buku terlaris New York Times, “It Ends With Us“, novel romantik ini menceritakan pengalaman dari sudut pandangan Atlas Corrigan, hero yang menjadi kegemaran peminat dalam buku yang pertama. Novel ini menyentuh topik-topik berkaitan dengan penderaan rumah tangga dan peluang kedua untuk bercinta.
(2) You’ve Reached Sam oleh Dustin Thao – Kisah sedih mengenai peluang kedua untuk mengucapkan selamat tinggal berkisar pada Julie yang berumur 17 tahun bila masa depannya musnah setelah kematian teman lelakinya, Sam. Apabila dia berasa terdesak untuk mendengar suara Sam semula, Julie menelefon telefon bimbit Sam dengan niat hanya untuk mendengar mel suaranya. Tetapi, ia menjadi pelik bila Sam menjawab panggilan telefon tersebut.
(3) A Good Girl’s Guide to Murder oleh Holly Jackson – Novel remaja bertema thriller misteri ini mengisahkan protagonis, Pippa Fitz Amobi yang nekad untuk mencari kebenaran sebenar di sebalik pembunuhan seorang gadis sekolah yang berlaku lima tahun lalu di bandar tempat tinggalnya.
(4) Will You Stay? oleh Norhafsah Hamid – Norhafsah, seorang penulis Malaysia, mengemukakan soalan tentang cinta dan iman kepada para pembaca yang budiman. Kisah menyayat hati ini memberi fokus kepada penyerahan diri terhadap jenis cinta yang akan membawa seseorang itu kembali semula kepada Tuhan yang maha penyayang.
(5) Queen of the Tiles oleh Hanna Alkaf – Satu lagi kisah menarik oleh pengarang tempatan yang sudah mencipta nama di dalam persada buku antarabangsa, plot cerita ini berbentuk misteri pembunuhan yang telah menyelubungi kejohanan Scrabble di Kuala Lumpur. Protagonis Najwa Bakri mencari sebarang petunjuk yang akan memberikannya ketenangan dan jawapan selepas kematian kawan baik dan juara Scrabble, Trina Low.
(6) I Want to Die but I Want to Eat Tteokbokki oleh Baek Sehee dan diterjemahkan oleh Anton Hur – Setelah merasa tertekan, Baek Sehee – seorang pengarah media sosial muda yang berjaya di sebuah rumah penerbitan – memulakan sesi pakar psikiatri untuk tempoh masa 12 minggu. Dia kemudiannya perlahan-lahan membebaskan diri daripada tindak balas sentakan lutut (knee-jerk reactions) dan kelakuan berbahaya yang menyebabkan dia terperangkap dalam kitaran penderaan diri. Kemahuan diri untuk terus dapat memakan tteokbokki menjadi dorongan untuk memperbaiki kesihatan mentalnya.
(7) The First Decade: My Journey from Blogger to Entrepreneur oleh Vivy Yusof – Selebpreneur Vivy Yusof adalah salah satu nama terkenal di Malaysia selepas berjaya memulakan platform e-dagang yang dipanggil FashionValet pada tahun 2010. Autobiografi perniagaannya ini merangkumi perjalanan hidup beliau daripada membuka dan meluaskan perniagaan, menguruskan pasukan seramai 400 orang di dalam syarikat, dan menangani kesan positif atau negatif akibat dari penggunaan media sosial.
(8) Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia oleh Tun Dr Mahathir Mohamad – Buku ini mengetengahkan perbincangan secara terus terang dan kadang-kadang sungguh tajam mengenai kesukaran yang telah dihadapi oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir selepas menang dalam pilihanraya umum yang ke-14. Selain itu, beliau juga berbicara tentang perjuangannya yang masih belum selesai untuk menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan oleh dinamik politik yang penuh rasuah dan perpecahan.
(9) Surrounded by Idiots: The Four Types of Human Behaviour (or, How to Understand Those Who Cannot Be Understood) oleh Steven Erikson – Asalnya diterbitkan dalam bahasa Sweden pada 2014 dengan tajuk “Omgiven Av Idioter”, buku ini sudah menjadi fenomena antarabangsa, dengan lebih 1.5 juta salinan telah dijual di serata dunia. Ia menawarkan kaedah terobosan untuk menilai personaliti orang lain yang kita sedang berkomunikasi, berdasarkan empat jenis personaliti (Merah, Biru, Hijau dan Kuning), dan memberikan pandangan bermanfaat tentang bagaimana kita boleh menyesuaikan cara kita bercakap dan berkongsi maklumat dengan sesuatu keadaan atau berdasarkan personaliti.
(10) Rapid-Fire Rafidah: Being Malaysian First oleh Rafidah Aziz – Setelah menjadi Ahli Parlimen wanita paling lama berkhidmat di Malaysia dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang paling lama berkhidmat, memoir ini berfungsi sebagai secebis refleksi tentang tahun-tahun formatif beliau, kerjaya politiknya dan personaliti yang ditemuinya semasa berkhidmat, dan kehidupan dalam persaraan.
——————————————————————————-—————————————-—————
Di Singapura, tiga buah buku terlaris bertindih dengan buku-buku yang telah disenaraikan untuk Malaysia. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kedua-dua buah negara ini begitu rapat sekali, sama ada secara literal ataupun kiasan. Lain daripada itu, terdapat banyak tema berbentuk pembaikan diri dan penebusan diri (self-redemption) yang terpilih sebagai bahan bacaan dan berjaya menambat hati rakyat Singapura. Senarai di bawah adalah antara buku-buku pilihan ramai:
(1) The Boy, the Mole, the Fox and the Horse: the Animated Story oleh Charlie Mackesy – Diterbitkan pada 2019, buku bergambar ini mengikuti perkembangan persahabatan di antara empat protagonis yang disebutkan dalam tajuk buku. Selepas ditayangkan di Apple TV+ sebagai Filem Asli Apple pada 25 Disember 2022, populariti buku itu melonjak naik dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan dalam jualan domestik.
(2) Before the Coffee Gets Cold oleh Toshikazu Kawaguchi dan diterjemahkan oleh Geoffrey Trousselot – Berkisar pada sebuah kafe yang menawarkan perkhidmatan mengembara masa, cerita yang mengharukan ini meneroka soalan yang sudah lama didengar: apakah yang akan anda ubah jika anda boleh mengembara ke masa lalu? Lebih penting lagi, siapa yang anda ingin temui, mungkin untuk kali terakhir?
(3) It Starts With Us by Colleen Hoover.
(4) Tomorrow, and Tomorrow, and Tomorrow oleh Gabrielle Zevin – Dinamakan oleh Amazon sebagai buku terbaik 2022, ia berpusat pada dua orang rakan – Sam Masur dan Sadie Green – yang menjadi terkenal melalui kerjasama kreatif mereka dalam reka bentuk permainan video. Jalan cerita menarik ini mengkaji pelbagai sifat identiti, ketidakupayaan, kegagalan, kemungkinan penebusan dalam permainan, dan paling penting sekali, keperluan kita untuk berhubung di antara satu sama lain di dalam dunia yang tidak sempurna ini.
(5) The Boy and the Dog: A Novel oleh Seishu Hase and diterjemahkan oleh Alison Watts – Seekor anjing mengubah kehidupan setiap orang yang membelanya dalam perjalanan lima tahun untuk bersatu semula dengan pemilik pertamanya di dalam buku yang memberi penghormatan dan menjadi sumber inspirasi kepada ikatan di antara manusia dan anjing. Ia adalah sebuah kisah yang menggembirakan dengan menampilkan tema-tema seperti kelangsungan hidup, ketabahan, dan cinta yang tidak dapat dinilai.
(6) The First Decade: My Journey from Blogger to Entrepreneur oleh Vivy Yusof.
(7) Ikigai: The Japanese Secret to a Long and Happy Life oleh Hector Garcia dan Francesc Miralles – Ikigai ialah perkataan Jepun untuk ‘sebab untuk hidup’ atau ‘sebab untuk melompat dari katil pada waktu pagi’. Ia adalah tempat di mana keperluan, keinginan, cita-cita dan kepuasan kita bertemu. Tempat keseimbangan. Buku ini akan membantu kita untuk mengetahui apa sebenarnya Ikigai kita, dan melengkapkan diri kita untuk melakukan perubahan dalam hidup.
(8) I Want to Die but I Want to Eat Tteokbokki oleh Baek Sehee dan diterjemahkan oleh Anton Hur.
(9) The Journey: A Big Panda and Tiny Dragon Adventure oleh James Norbury – Di dalam buku pedoman (companion book) baru untuk fenomena laris global “Big Panda dan Tiny Dragon”, dua watak tersebut memulakan pengembaraan yang menarik ke sebuah alam yang baharu dan jauh. Ketika mengalami bahaya dan cabaran semasa di dalam perjalanan, mereka dapat mempelajari beberapa pengajaran yang mengubah pandangan hidup masing-masing.
(10) Atomic Habits : An Easy and Proven Way to Build Good Habits and Break Bad Ones oleh James Clear – Di dalam buku terobosan ini, penulis mendedahkan dengan tepat bagaimana kesan kompaun dari ratusan keputusan kecil seseorang boleh berkembang menjadi sesuatu yang akan mencetuskan perubahan dalam hidup. Dia juga mendalami psikologi dan neurosains yang canggih untuk menjelaskan betapa pentingnya petua hidup yang mudah (simple life hacks) boleh menipu minda seseorang dalam membuat perubahan secara beransur-ansur.
——————————————-—————————————-—————————————-————
Antara buku-buku yang disenaraikan, yang manakah sudah anda baca? Jika belum, yang manakah menarik perhatian anda untuk membacanya nanti?
Selamat Tahun Baru dan semoga kita membaca buku-buku yang lebih bermakna dan dapat mengubah hidup kita pada tahun 2023!