Sambutan Hari Bapa 2022
Bapa Sebagai Guru Terawal
Bapa merupakan seorang insan penting dalam hidup kita kerana dialah yang membentuk sifat maskulin seorang anak. Tidak semua orang inginkan sifat maskulin, tetapi hakikatnya setiap insan ada gabungan keduanya, cuma seorang wanita adalah lebih bersifat feminin, dan seorang lelaki pula akan kurang feminin dan lebih maskulin dalam penonjolan fizikal dan mentalnya. Dari sudut spiritual atau keruhanian, pada asasnya kita semua sama dan setiap orang mampu mengecapi tahap kesedaran akan kewujudan jiwa (consciousness) yang mendalam.
Pengorbanan Bapa dan Ibu
Tuhan menjadikan setiap orang lengkap sebagai manusia kerana adanya sumbangan bapa dari segi genetik – kedua-dua jelmaan genotip dan fenotip (genotype and phenotype) – ini perlu untuk kewujudan fizikal kita di alam ini. Dari peringkat sel lagi, sumbangan bapa memastikan kita menjadi insan yang cukup sifat, lalu berkembang menjadi organ dan saraf yang dilengkapi dengan hormon estrogen dan progesteron yang menentukan jantina setiap seorang dari kita – dengan takdir Tuhan untuk melengkapi keberadaan kita di alam zahir. Lahirnya kita ke dunia, yang pasti ibulah yang paling besar pengorbanannya. Bagaimana pula dengan bapa? Benar, dia tidak bersusah-payah mengendong anak dalam perutnya ataupun berhempas pulas ketika melahirkan zuriat? Tetapi tidakkah kita sedar degup jantung bapa yang kencang ketika saat kelahiran dan bagaimana dia memerah otaknya menghitung kos bayaran hospital anak yang bakal lahir sehinggalah tahun-tahun kedepan bagi dirinya membesarkan anak ini sehingga dewasa. Tentu bapa juga bimbang akan tahap persediaan dirinya memikul tanggungjawab keatas isteri tersayang dan insan baru bernama anak yang mengharapkan kudratnya. Kerana inilah mungkin Nabi Muhammad (S) berhikmah dalam hadisnya:
(Riwayat Abu Hurairah(r.a.) bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah(S) ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah (S) menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.
Riwayat Muslim (2548)
Begitu tepat sekali sasaran hadis Nabi ini, sehinggakan jarang sekali ada yang mempersoalkannya walaupun dikalangan kaum bapa. Mereka sendiri tidak menafikan kepentingan seorang ibu dalam hidup anak, bermula dari saat anak itu dikandung sehingga ke saat salah seorang menghembuskan nafas akhirnya – hadis ini tidak sekali-kali menafikan kepentingan seorang bapa terhadap anaknya. Seorang ahli psikologi popular, Jordan Peterson menghuraikan persoalan yang agak sama dengan menekankan bahawa tugas bapa itu adalah sebagai seorang pendisiplin yang memberi galakan untuk anaknya menjadi insan yang berani dan yakin diri (courageous). Tanpa galakan dan dorongan seorang bapa, lemahlah semangat seorang anak, melainkan ada ibu yang berhati kental juga disisinya. Dalam video yang berjudul Thing You mst Know as a Father, Peterson menyatakan:
“Your role is to discipline but also to encourage.” (Jordan Peterson)
Tambah Peterson lagi, seorang anak yang kehilangan ibunya akan merasa amat hampa, maka tidak mudah untuk mereka menerusi hidup dalam keadaan tersebut. Namun begitu, katanya lagi, situasi yang sedikit kurang menghampakan adalah apabila seorang anak tidak dapat menjalinkan hubungan yang utuh dengan bapanya sendiri. Ianya tetap sukar untuk dihadapi. Ujarnya dalam Youtube video:
“…It really kills people not to have their mother, they just don’t recover from that..and I think people can recover from a fragmented father relationship — it’s the next worse thing.” (J. Peterson)
Bapa Harus Jadi Pendisiplin Utama
Kerana itu bapalah pendisiplin utama didalam kebanyakan rumahtangga yang aman sentosa. Seorang bapa itu seharusnya tegas dalam menetapkan sifat-sifat dan kelakuan yang murni pada diri anaknya. (Peterson), Menurutnya lagi, kerana itu seorang bapa haruslah berlagak seolah-olah dirinya seorang hakim yakni sentiasa memerhati dan membetulkan tingkah-laku anaknya untuk mencapai aras disiplin yang dibanggainya dan masyarakatnya sekaligus. Inilah erti hidup sebagai manusia yang berakal. Perkataan yang digunakan oleh Peterson adalah “judgement” yang lebih kepada erti mencari keadilan kepada sesuatu. Tetapi lebih tepat lagi kalau perkataan ‘adab’ yang diletakkan disini. Adab menurut Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar dan ini tidak mudah dilakukan, dan amat sukar di terapkan dalam diri anak-anak oleh ibubapa.
Mendisiplin dengan Bermain, Menerapkan Ilmu dengan Mengajar dan Melahirkan Insan Adabi
- Tarbiyah
- Ta’lim
- Ta’dib
Tetapi jelas disini bahwa tugas mendidik bagi seorang bapa itu melalui tiga aras pendidikan untuk anaknya. Pertama adalah penerapan akhlak mulia dalam pergaulan dengan bermain – ini juga suatu tarbiyah. Jordan Peterson menggunakan contoh ‘rough and tumble play’ dimana seorang bapa dan anaknya akan bermain kasar dengan pura-pura berlawan dan bergelut ataupun dengan anak perempuannya – dengan melambung anaknya ke atas bahu untuk disambut segera. Menurut Ahli psikologi, Peterson inilah caranya seorang anak mempelajari had-had tingkah-laku yang diizinkan dalam hubungan antara insan. Dengan sifat yakin dan percaya terhadap bapanya, si anak dididik cara menghargai kebolehan tubuh badannya tanpa berlebih-lebihan sehingga membahayakan lawannya (iaitu bapanya atau dirinya juga). Perkataan ‘tarbiyah’ muncul dari kata akar ‘rabbā’ dan ada juga dalam kisah Nabi Musa yang mencabar kepercayaan Fir’awn lalu raja Mesir itu bertanya kepadanya tentang didikan awal yang diberikannya sebagai bapa angkat: alam nurabbika fīnā walīdā (Quran, 26:18) Didalam bukunya Concept of Education in Islam, Syed Muhammad Naquib Al-Attas menerangkan erti ‘tarbiyyah’ sebagai merujuk kepada proses mendisiplin dan menggalakkan tumbesaran dan kematangan sesuatu benda, sama ada tumbuhan, haiwan mahupun manusia, manakala ‘rabbayānī’ lebih memberi maksud disiplin dan didikan dengan kasih-sayang.
Melentur Buluh biarlah dari Rebungnya
Maka kedua ibubapa harus mendidik anaknya ketika masih lembut bakkan rebung. Pendidikan yang dimaksudkan disini adalah proses mengajar perkara asas yang perlu untuk anak seperti yang termaktub dalam perkataan ‘tarbiyah’. Pengajaran berterusan dengan tahap yang seterusnya seperti cara bersembahyang, pemakanan berkhasiat, keupayaan membaca dan menulis, mengira serta mengetahui asal-usul nenek-moyang mereka, yakni identiti mereka. Proses melentur buluh ini dinamakan ta’lim dan paling sesuai dilakukan oleh kedua ibubapa dan ahli keluarga. Dizaman moden, tugas ini telah diserahkan bulat-bulat kepada para guru yang mana tugas murabbi atau pendisiplin tadi turut dilaksanakan dalam program pengajaran (ta’lim) ini. Tentu sekali penglibatan para ibubapa amat penting dan utama pada tahap ini juga.
Akhir sekali, seorang bapa adalah pembentuk adab dan peribadi anaknya. Dia bertindak sebagai seorang ‘muaddib’ yang menerangkan baik dan buruk cara berfikir anaknya. Terlebih dahulu pembentukan peribadi yang bertunjangkan kepercayaan kepada Tuhan dan hukum agama seperti yang telah di pupuk dalam pengajian kitab seperti kitab Al-Quran bagi umat Islam (kitab Gospel bagi orang Kristian dan buku-buku agama lain menurut pegangan masing-masing) harus menjadi pegangan dan pedoman anak dan ibubapanya di peringkat ini. Peranan seorang bapa dalam menerapkan kebolehan berfikir aras tinggi agak menonjol kerana kaum lelaki kelihatan cenderung berfikir secara logik dalam berfikir dan berinteraksi. Kaum wanita secara amnya dikatakan hebat dalam mendalami emosi dan menghargai nurani orang lain (empathy). Ini adalah keistimewaan yang tidak semestinya dimiliki oleh jantina tertentu, tetapi secara amnya kita sedar akan kecenderungan masyarakat disekeliling kita.
Pengajian yang berasaskan rasional dan empirikal – pemikiran dan kerohanian seorang anak untuk menjadi insan yang kenal akan dirinya, sedar wujudnya Sang Pencipta dan berkhidmat kepada masyarakat di negaranya serta kelompok sejagat adalah tujuan utama pendidikan yang di beri nama ta’dib oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Katanya:
“Ta’dib already includes within its conceptual structure the elements of knowledge (‘ilm), instruction (ta’alim), and good breeding (tarbiyah)…” (Al-Attas, Concept of Education, p.33)
Dengan ini, kita sedar betapa berat tanggungjawab seorang bapa untuk mendidik anaknya. Tentu sekali sentuhan ibu akan meringankan dan memudahkan tanggungjawab yang dibeban bersama oleh Ibu dan bapa. Tidak dinafikan ada ketikanya seorang ibu perlu memainkan peranan ini. Kerana itu ciri-ciri yang seharusnya ada pada seorang bapa boleh di zahirkan sedaya mungkin oleh seorang wanita bernama ibu, mahupun datuk-nenek atau ahli keluarga yang lain. Para guru yang muncul dalam hidup anak-anak juga membawa impak yang besar. Setiap seorang dari kita telah ditakdirkan oleh Tuhan untuk menyemarakkan pendidikan mereka secara berperingkat-peringkat – yakni sebagai murabbi, mu’allim dan mu’addib, sekaligus. Ini sebenarnya sedikit berbeza dengan pengertian pendidikan dalam bahasa Inggeris, ‘education’ yang berasal dari perkataan Latin ‘educere’. Education lebih memberi makna usaha menzahirkan bakat sedia ada termasuklah akal dan idea yang terpendam dalam seseorang insan.
Sebagai seorang anak, aku sedar banyak yang telah diterapkan oleh bapaku, walaupun beliau lebih hebat sebagai seorang mu’allim yang mendidikku sehingga fasih berbahasa Inggeris. Papalah guru Bahasa Inggerisku yang pertama. Dia juga sering menyuap nasi ke mulut ku apabila kurang minat untuk makan, dan dizaman remaja pula bapaku sering mengambil alih tugasan membasuh pinggan disinki. Ku sedar ta’dibku kurang lengkap, jika tidak disambut oleh ibuku yang suka bersajak, menikmati lagu P. Ramlee, serta dengan tegas mengajarku membaca Al-Quran. Ramai pula kalangan guru yang telah mendisiplinkanku, mengajarkan asas-asal ilmu duniawi dan akhirat sehinggalah ke hari ini, aku masih lagi terhutang budi dengan para guru yang tetap sabar menasihati diri ini.
Bersempena sambutan hari bapa tahun ini, aku tidak bisa menyambutnya kerana bapa ku sudah lama meninggalkan kami dan dunia fana ini sejak akhir tahun 2012. Aku hanya dapat mengenang hari bapa dengan menghitung keistimewaan bapaku Mohammed Khalili b. Ghazali, mensyukuri sifat-sifat terpujinya yang ku sedari ada dalam tingkah-laku dan kecendurangan diriku sendiri. Mungkin kalian semua sudah menghadiahkan alat elektronik terbaru, buku dengan judul popular ataupun sekadar belanja makan di restoran kegemaran bapa kalian tahun ini. Aku hanya mampu menyambutnya dengan memohon doa kepada Tuhan untuk menyampaikan keberkatan dari amalanku untuk dikongsikan dengan bapaku termasuklah bacaan ayat-ayat al-Quran untuknya. Al-Fatihah.
About the Author
Khalina M. Khalili is a mother of 3 adult children. She currently teaches Islamic Studies at the Alice Smith School, Kuala Lumpur. She studied Economics, Education and Islamic Philosophy formally. She received a certificate of Quran recitation – level 3 (teaching) from the Dar al-Huda Centre for Quran Reading and Memorizing in Saudi Arabia in 2009 and has been a Qur’an teacher ever since.