Mas Elizawati Mohammad Ali
Pepatah Melayu kata, “Air yang dicincang tidak akan putus”. Walau bagaimana buruknya dan lamanya perselisihan sesuatu keluarga, mereka semestinya akan kembali berbaik semula. Ikatan keluarga yang kuat akan membawa berkat, bukan saja kepada bangsa malah kepada negara kita yang tercinta.
15 Mei merupakan tarikh untuk menyambut Hari Keluarga Antarabangsa setiap tahun di serata dunia. Pada tahun 1993, Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (atau nama singkat PBB) telah mengisytiharkan 15 Mei sebagai Hari Keluarga Antarabangsa. Ia selaras dengan misi PBB yang mahu meningkatkan kesejahteraan keluarga di seluruh dunia, sama ada dari segi kesihatan, pendidikan, hak kanak-kanak, kesaksamaan jantina, keseimbangan kerja-keluarga dan keterangkuman sosial (‘social inclusion’).
Hari ini juga memberi peluang untuk pihak kerajaan mempromosikan kesedaran tentang isu yang berkaitan dengan keluarga dan menambahkan pengetahuan tentang proses sosial, ekonomi dan demografi yang mempengaruhi sebuah unit keluarga. Di samping itu, ia telah memberi inspirasi kepada sesetengah pihak untuk mengadakan beberapa acara yang boleh meningkatkan kesedaran, termasuk sambutan hari keluarga di peringkat kebangsaan. Misalnya, di kebanyakan negara, hari ini adalah peluang untuk menumpukan perhatian kepada pelbagai jenis minat dan kepentingan semata-mata untuk keluarga.
Untuk Hari Keluarga Antarabangsa tahun ini, temanya ialah Keluarga dan Pembandaran (‘Family and Urbanization’) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan dasar bandar yang mesra keluarga (‘family-friendly urban policy’). Salah satu trend baru muncul (‘emerging trend’) dan paling penting yang akan memberi kesan kepada bumi dan kesejahteraan keluarga di seluruh dunia ialah pembandaran (‘urbanization’).
Tema ini juga merangkumi Pembandaran Mampan (‘Sustainable Urbanization’) yang berhubung-kait dengan resolusi PBB untuk mencapai beberapa matlamat dan sasaran Pembangunan Mampan (‘Sustainable Development’) seperti pembasmian kemiskinan, kesihatan baik dan kesejahteraan hidup. Selain itu, ia bercita-cita untuk menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan, serta mengurangkan ketidaksamaan di dalam dan di antara negara.
Antara cara-cara untuk meraikan Hari Keluarga Antarabangsa ialah dengan menjemput seluruh ahli keluarga kita untuk bekerjasama melakukan projek kekeluargaan. Putuskan bersama jenis projek yang hendak dikerjakan, garis masa untuk menyiapkannya dan segala butiran penting.
Kita juga boleh raikan suku keluarga (‘clan’) dengan trivia bertema kekeluargaan seperti soalan-soalan di bawah:
1. Di kalangan generasi paling tua dalam keluarga kita, berapa orang yang masih hidup dan sihat hari ini?
2. Siapakah ahli keluarga paling lama hidup yang bersama kita hari ini?
3. Siapakah ahli keluarga terbaru kita pada hari ini? (Ia boleh jadi bayi atau perkahwinan baru.)
4. Siapakah pasangan pengantin paling baru?
5. Di dalam berapa negerikah keluarga kita tinggal dan adakah yang bermastautin di luar negara?
6. Dari manakah keturunan moyang kita berasal dan apakah bahasa ibunda mereka?
7. Berapakah bilangan orang dalam keluarga kita?
8. Siapa yang paling banyak melancong ke negara-negara lain?
9. Siapa yang pandai menyanyi, memainkan alat muzik atau mempunyai bakat-bakat lain yang unik?
10. Apakah warna yang paling digemari oleh kebanyakan ahli keluarga?
Keluarga adalah seperti dahan pokok – kita tumbuh dalam arah dan kadar yang berbeza tetapi kita masih berkongsi akar yang sama. Tidak kira berapa jauh kita menjolok keluar dari batang pokok, kita seharusnya akan ingat tempat di mana kita berpangkal. Tanpa keluarga, kita hanyalah satu jasad yang tidak berjiwa. Oleh itu, sayangilah keluarga kita untuk kebahagiaan diri sendiri dan kemakmuran dunia sejagat.