Peranan Universiti dalam Dunia yang Bergolak: Ulasan Buku bertajuk Universities, Academics and the Great Schism karya R. N. Swanson terbitan Cambridge University Press
Pengulas: Muhammad Afiq bin Abd Rahman
Dunia yang bergolak kini mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan kebanyakan manusia. Namun kegelisahan masyarakat, pendidikan, politik dan ekonomi selepas wabak dan peperangan yang terus menerus berlaku di antara kuasa-kuasa dunia, bukanlah suatu yang baru dalam sejarah. Dengan perancangan yang betul mungkin pergolakan itu tidak menjadi masalah malah memangkin ke arah kehidupan semula apa yang sebelum ini telah mati khususnya dalam pengajian tinggi jika sekiranya universiti memahami peranannya dalam waktu-waktu genting dan sulit kini. Sudah tiba masanya untuk mengurangkan debat-debat yang tiada gunanya tanpa pembangunan ilmu-ilmu prasyarat yang sepatutnya di universiti. Soalannya, apakah yang dapat dipelajari dari sejarah kesulitan masyarakat terdahulu, bagaimana mereka berhadapan dengannya dan kenapa universiti yang harus menjadi pokok pangkalnya dalam melunaskan tanggungjawab berdepan kesulitan itu? Bagi menjawabnya mungkin sebuah buku bertajuk Universities, Academics and the Great Schism karya R. N. Swanson terbitan Cambridge University Press dapat memberikan sedikit gambaran masa lalu di Eropah yang berguna untuk difikirkan.
Buku ini adalah berkenaan peranan universiti di Eropah sewaktu pelbagai pergolakan yang melanda Eropah di antara abad ke-14 sampai abad ke-15 dengan tumpuan khususnya terhadap peranan universiti sewaktu Perpecahan Gereja Katolik atau juga dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Western Schism yang berlangsung di antara tahun 1378 sampai tahun 1418. Tujuan penulis buku ini adalah untuk menyumbangkan buah fikirannya dalam sejarah universiti dan sejarah gereja pada abad pertengahan di Eropah berdasarkan sumber-sumber sejarah dalam manuskrip di pelbagai perpustakaan sekitar Eropah dengan tumpuan terhadap maklumat sejarah Universiti Paris yang berperanan sebagai penyumbang utama sewaktu zaman Perpecahan Gereja Katolik itu. Pada ketika itu juga meskipun terdapat misalnya Universiti Bologna di Itali yang menurut penulis sudah jauh ke depan berbanding universiti-universiti di Eropah, namun bidang-bidang yang dimajukan di situ bukanlah bidang keagamaan seperti Universiti Paris.
Yang menariknya buku ini adalah bab latar belakang Eropah sewaktu Perpecahan Gereja Katolik itu dalam halaman 5 sehingga halaman 21 yang menurut penulis berada dalam keadaan: (1) Krisis ekonomi yang beri kesan terhadap peruntukan universiti, dan (2) Krisis autoriti di antara autoriti sekular dengan autoriti gereja dalam universiti. Kedua-dua keadaan ini berlangsung lebih awal sebelum peristiwa Perpecahan Gereja Katolik. Namun peristiwa tersebut kemudiannya menjadi pemangkin kepada penubuhan besar-besaran fakulti-fakulti teologi di universiti-universiti, walaupun pada awalnya rahib-rahib gereja tidak membenarkan integrasi di antara gereja dengan universiti. Ini kerana universiti-universiti mulanya disarankan untuk menubuhkan kursi ilmu bahasa-bahasa timur berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Majlis Mesyuarat Vienna pada tahun 1311, namun sesetengah pihak gereja tidak dapat menerimanya, manakala sesetengah yang lain yang menyedari berkenaan (1) peningkatan keterlibatan warga universiti dalam hal ehwal sekular, (3) penyebaran bidang perundangan sivil, dan (3) penyebaran fahaman falsafah Aristotle walaupun dilarang, mula mendesak para rahib untuk memastikan terdapat warga universiti yang taat setia terhadap gereja. Perkembangannya itu kemudian lebih rancak sehinggalah setiap universiti baru yang ditubuhkan di Eropah pasti mengadakan fakulti teologi sebagai asas universiti.
Di sebalik itu, perkembangan persefahaman di antara universiti dengan gereja tersebut menurut penulis berlaku di antara dua peristiwa penting iaitu peristiwa Black Death iaitu wabak yang meragut ribuan nyawa yang berlaku sebelum peristiwa Perpecahan Gereja Katolik dan kemudian disusuli pula oleh peristiwa pembukaan Constatinople oleh Sultan Muhammad al-Fatih selepas peristiwa Perpecahan Gereja Katolik itu. Penulis buku ini beranggapan itu adalah kejatuhan Constatinople, sebaliknya selepas peristiwa pembukaan Constatinople itu Eropah sebenarnya mula giat membangunkan pula pengajian Arab selama dua abad iaitu pada abad ke-16 dan abad ke-17. Pembangunan pengajian Arab itu telah dibahaskan lanjut misalnya oleh G. J. Toomer pada tahun 1996 dalam karyanya bertajuk Eastern Wisedom and Learning: The Study of Arabic in Seventeenth Century England yang diterbitkan oleh Oxford Clarendon Press, yang melibatkan perkembangan pengajian bahasa Arab di 5 negara utama di Eropah iaitu Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman dan Belanda.
Bagaimana pula bahasa Arab dapat dibangunkan dengan pesat ketika itu? Ini kerana pada akhir peristiwa Perpecahan Gereja Katolik itu yang telah menyaksikan pelbagai debat dan risalah berkenaan gereja dan kerahiban dalam bab 2 sampai bab 9, penglibatan universiti dalam membincangkan hal ehwal agama, atau menurut istilah penulis, “theoretical role of the universities within the European community”, tersebut ditamatkan serta merta disebabkan para rahib kembali bersatu di bawah satu pope. Keadaan lebih sulit lagi dengan gangguan politik yang mengawal peruntukan kewangan dan gangguan pentadbiran sesetengah universiti yang melarang hubungan di antara universiti. Sepanjang tempoh gangguan-gangguan itu berlangsung universiti masih dirujuk dalam hal ehwal gereja seperti Raja England yang meminta sokongan universiti-universiti di Eropah bagi membantunya berdepan dengan pope dalam kes perceraian dengan isterinya. Dengan keadaan-keadaan penuh kekecewaan terhadap gereja itulah yang akhirnya pengajian bahasa Arab dapat membangunkan pesat selama dua abad di universiti-universiti di Eropah.
Kesimpulannya, berbalik kepada pokok soalan tadi, yang dapat dipelajari dari sejarah kesulitan masyarakat terdahulu itu adalah pembangunan universiti tetap pesat meskipun dalam keadaaan pergolakan, dan bagi berhadapan dengan kesulitan tersebut sekaligus membangunkan universiti itu memerlukan universiti yang giat dalam pembangunan dasar-dasar bagi bidang agama seperti ilmu bahasa yang sebenarnya tidak memerlukan belanja tinggi berbanding bidang lain kerana hanya memerlukan sarjana dan pembangunan koleksi buku-buku rujukan. Bagi tujuan tersebut yang selayaknya untuk memikul amanah tanggungjawab sedemikian adalah universiti. Namun jika sekiranya universiti dirancang berdasarkan tujuan pensekularan, amanah sedemikian itu tidak akan mampu digalas dan tidak selayaknya ditanggung amanahnya oleh mana-mana universiti.
Rujukan
G. J. Toomer, (1996) Eastern Wisedom and Learning: The Study of Arabic in Seventeenth Century England. Oxford: Clarendon Press
R. N. Swanson, (1979). Universities, Academics and the Great Schism. Cambridge: Cambridge University Press