Kehendak dan Kebebasan Manusia: Sharah al-Attas Tentang Persoalan ini dalam Critique of Pure Reason dan Critique of Practical Reason karya Immanuel Kant
Penulis: Muhammad Afiq bin Abd Rahman (Malaysia)
Sharah ini terkandung dalam karya al-Attas bertajuk The Mysticism of Ḥamzah Fanṣūrī yang umumnya bertujuan untuk membezakan konsep kehendak dan kebebasan menurut Ahli Falsafah dengan konsep kehendak dan kebebasan menurut Ahli Sufi. Kenapa al-Attas membezakannya dengan karya Immanuel Kant? Ini disebabkan Islam itu berhubung rapat dengan Barat menerusi rantaian sejarah Yahudi dan Kristian serta menerusi rantaian sejarah falsafah Yunani.1 Malah menurut al-Attas, bagi Islam di Alam Melayu itu pun bawaan pengaruhnya itu berhubung rapat dengan rantaian sejarah falsafah Yunani, bukan rantaian sejarah Hindu atau Buddha. Masalahnya menurut al-Attas, berpunca daripada:
- Para sarjana bidang pemikiran Sufi, khususnya para Orientalis Barat, cenderung menjelaskan kesulitan fahaman Sufi dalam soal kehendak dan kebebasan secara bermudah-mudahan, mengemukakan masalah-masalah kefalsafahan dan menunjukkan percanggahan dalam konsep Sufi yang mereka sendiri reka. (Sarjana bidang pemikiran Sufi yang dimaksudkan bukanlah ahli Sufi itu sendiri tetapi sekadar pengkaji.)
- Mereka menyimpulkan bahawa penyelesaian Ahli Sufi dalam masalah kehendak dan kebebasan sebagai suatu yang ‘tidak memuaskan’ dan ‘percanggahannya lebih menyilaukan’.
- Mereka menimbulkan soalan keliru iaitu: Bagaimana ketaatan akhlakiah ditempatkan dalam sistem sedemikian? Siapa pula yang bertanggungjawab atasnya dan kepada siapa yang dipertanggungjawabkan apabila ‘Hakim’ dan ‘yang dihakimi’ adalah satu?
Masalah tersebut menurut al-Attas adalah seperti masalah yang dipermasalahkan oleh Zeno dan Epictetus. Kenapa al-Attas memetik berkenaan Zeno dan Epictetus ini? Walaupun al-Attas tidak menjelaskan berkenaan Zeno dan Epictetus lebih lanjut, tetapi dapat difahami bahawa apa yang al-Attas maksudkan adalah Zeno dan Epictetus itulah asal bagi faham penduaan/pemisahan hakikat yang fahamannya terzahir dalam kedua-dua kritik karya Immanuel Kant. Maka sebelum memahami fikiran Immanuel Kant dan kekeliruan yang merasuki ramai sarjana bidang pemikiran Sufi terutamanya Orientalis Barat, perlu difahami terlebih dahulu fikiran Zeno dan Epictetus. Dalam kata lain, perkembangan kekeliruan itu bermula daripada Zeno dan Epictetus, kemudian Immanuel Kant dan kemudiannya sebahagian besar para sarjana bidang pemikiran Sufi khususnya Orientalis Barat. Perbincangan seterusnya boleh dibaca di bahagian ke-2.
Nota Kaki
1 Al-Attas (1970), “Unlike Hinduism and Buddhism, Islām is traditionally linked with the West. It carried on the traditions of Judaism and Christianity, and by the time it came to the Malay-Indonesian Archipelago, it brought with it also important elements of Greek philosophy such as conveyed by Plato, Plotinus and the Neo-Platonists. Apart from these elements of Greek philosophy it brought with it also its own contribution to philosophy⸺the elaborate theory of atoms, accidents and substance of the Mu’tazilah, al-Ash’arī and the later Mutakallimūn.” (Hlm. 190)
Rujukan
Al-Attas, S.M.N. (1970). The Mysticism of Ḥamzah Fanṣūrī. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. Hlm. 102—110
Diogenes Laërtius. (1959). Lives of Eminent Philosophers with an English Translation by R.D. Hicks, in Two Volumes. Massachusetts: Harvard University Press
Friedrich Ueberweg. (1889). History of Philosophy, Volume 1. Terjemahan Grundriß der Geschichte der Philosophie, diterjemahkan oleh Geo. S. Morris. New York: Charles Scribner Sons
Wilhelm Windelband. (1901). A History of Philosophy: With Especial Reference to the Formation and Development of Its Problems and Conceptions. New York: The Macmillan Company