Kematian Prinsip Asal Universiti: Ulasan Buku bertajuk A Christian Critique of the University karya Charles Habib Malik terbitan North Waterloo Academic Press
Pengulas: Muhammad Afiq bin Abd Rahman
Antara yang mengesalkan bagi sesebuah universiti adalah apabila universiti mula menunggang istilah perubahan untuk mencapai kemajuan walaupun dengan cara menggadaikan prinsip asal yang lebih bermakna berbanding prinsip baharu yang hampa makna. Lebih buruk padahnya apabila warga universiti itu tidak sedikit pun berasa terhina malahan berbangga diri dengan perubahan yang dialaminya itu. Soalannya, apakah prinsip baharu yang menyebabkan kematian prinsip asal itu? Buku bertajuk A Christian Critique of the University (1982) karya Charles Habib Malik adalah antara karya pengajian tinggi yang cuba menjawab soalan tersebut.
Antara pendorong utama Charles Habib Malik menulis buku ini adalah disebabkan kekecewaannya dengan Universiti Harvard yang menurutnya telah menyimpang dari prinsip asal penubuhannya. Sebagai lepasan universiti tersebut, Charles Habib Malik mengenang kembali saat indah menuntut ilmu di bawah bimbingan guru-guru Universiti Harvard yang faham benar prinsip universiti iaitu seperti Alfred North Whitehead, penulis buku The Aims of Education yang terkenal itu, dan juga Martin Heidegger, seorang ahli falsafah yang terkemuka pada abad lepas. Ini kerana pada sewaktu beliau menuntut ilmu di situ, Universiti Harvard menggunakan cogankata Christo et Ecclesiae yang tersemat pada lambang Universiti Harvard bermaksud “untuk Christ dan untuk Gereja”. Namun kemudiannya cogankata tersebut disingkirkan oleh universiti kononnya untuk perubahan ke arah kemajuan.
Seterusnya Charles Habib Malik menjelaskan berkenaan istilah perubahan dan kemajuan yang telah mengganggu susunan mata pelajaran terutamanya perubahan dalam tujuan dan makna mata pelajaran sains memandangkan beliau sendiri mempelajari bidang Matematik dan Fizik sewaktu pengajian prasiswazah, serta gangguan daripada kaedah saintifik yang dipaksakan ke atas bidang-bidang kemanusiaan dan keagamaan. Menurut beliau sains bukanlah autoriti dalam menentukan susunan mata pelajaran, sebaliknya yang berperanan menentukan susunan mata pelajaran adalah bidang falsafah dan teologi. Malah beliau menempelak bahawa kaedah saintifik itu tidak pula dikenakan terhadap diri dan kehidupan para saintis itu sendiri. Ini terjadi menurut beliau adalah disebabkan para saintis dengan bangga dirinya menganggap penyimpangan itulah kejayaannya.
Apa yang dijelaskan Charles Habib Malik ini membayangkan apa yang telah terlebih dahulu dibahaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas berkenaan faham ilmu Barat, faham perubahan dan faham Sains. Misalnya dalam karyanya yang bertajuk The Correct Date of the Trengganu Inscription, al-Attas mengemukakan sebuah petikan dari karya Huizinga bertajuk The Idea of History pada awal tulisannya itu berkenaan faham keraguan yang mengganggu pemahaman dan makna sejarah. Huizinga menempelak bahawa mereka yang dipengaruhi faham keraguan dalam ilmu itu tidak sepatutnya mengehadkan keraguannya dalam soal sejarah semata-mata tetapi keraguan itu mestilah juga dikenakan terhadap dirinya sendiri.
Dalam Risalah untuk Kaum Muslimin, al-Attas menyifatkan bahawa faham perubahan dan faham kemajuan dalam kebudayaan Barat itu adalah “senantiasa menjadi, tetapi tiada jadi; mencari, tetapi tiada juga dapat; mereka, tetapi tiada juga puas akan kesempurnaan rekaannya itu—sehingga terus menokok-tambah dan mengubah-ganti seolah-olah akal insaniah belum sempurna dan harus menempuh suatu macam evolusi zahiriah ke arah yang lebih sempurna: seolah-olah agama itupun belum sempurna dan harus juga menempuh suatu macam evolusi ke arah kesempurnaan.” Dalam karya yang sama itu juga al-Attas menempelak bidang Sains yang telah berperanan “sehabis-habisnya mengosongkan alam tabii dari sebarang ma‘na ruhani”.
Malah Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri berpengalaman berdepan dengan perubahan cogankata dalam lambang universiti di Malaysia yang menyebabkan perubahan prinsip asal universiti yang bermakna menjadi hampa makna. Misalnya, Universiti Kebangsaan Malaysia asalnya menggunakan cogankata zidni ilman, yang dikemukakan oleh al-Attas pada lambang yang al-Attas cipta, yang diambil dari al-Qur’an bermaksud “tambahkan ilmuku”, sekaligus menandakan tujuan ringkas universiti iaitu ilmu. Namun kemudian cogankata itu disingkirkan—penghinaan ini disebabkan pemimpin universiti yang bertanggungjawab ketika itu bukan mereka dari kalangan alim ulama’. Lama kelamaan pada masa kini sesetengah universiti di Barat ada yang menggunakan cogankata zidni ilman itu, kerana menyedari tujuan penubuhannya—antaranya adalah OXCIS di England dan Zaytuna College di Amerika. Kenapa tujuannya ilmu? Universiti bertujuan untuk mendidik manusia, bukan mendidik kambing, lembu, kucing dan beruk. Ini kerana haiwan ternakan atau haiwan peliharaan biasanya diajar, tidak dididik. Manusia yang terdidik pula disebut manusia yang berilmu, manakala binatang yang diajar pula tidak disebut kambing yang berilmu, lembu yang berilmu, kucing yang berilmu atau beruk yang berilmu. Makna kata, tiada alim ulama’ dalam kalangan kambing, lembu, kucing dan beruk.
Perkataan ilmu itu diambil dari perkataan bahasa Arab al-’ilm yang menurut Hamzah Fansuri, dalam The Mysticism of Hamzah Fansuri karya al-Attas, adalah hakikat Rasulullah, dan oleh sebab ilmu adalah hakikat Rasulullah, maka menurut Hamzah Fansuri apabila ilmu hidup bercampur nyawa itu namanya Ruh, apabila ilmu berhimpun mengatur segala maklumat itu namanya Akal, apabila ilmu kelihatan maklumatnya namanya Nur, apabila ilmu itu tertera menerusi huruf bagi segala maklumat itu namanya Qalam dan apabila ilmu itu ternyata rupa maklumatnya atas tempatnya tersurat itu namanya Lawh. Maka Ruh, Akal, Nur, Qalam dan Lawh itu semua dipimpin oleh al-’Alim iaitu satu daripada Nama Indah milik Allah. Begitu juga universiti, sepatutnya dipimpin oleh alim ulama’, bukan mereka dari bidang selain ilmu agama. Jawatan-jawatan seperti Canselor atau Naib Canselor sepatutnya diamanahkan kepada alim ulama’. Di Universiti Oxford pula misalnya, walaupun Canselor atau Naib Canselor adalah jawatan politik, tetapi terdapat The Oxford Pastorate yang ditubuhkan sejak tahun 1893 untuk memimpin universiti tersebut. Namun bagi universiti kaum Muslimin perlu lebih terkedepan berbanding universiti Kristian itu dengan meletakkan alim ulama’ pada tempatnya yang betul.
Kesimpulannya, prinsip baharu yang menyebabkan kematian prinsip asal universiti adalah faham perubahan, faham kemajuan dan faham keraguan yang bukan sahaja berlaku terhadap universiti terkenal di Barat tetapi turut berlaku terhadap universiti yang tidak begitu dikenali dalam tamadun Islam. Namun demikian bukanlah suatu yang mustahil untuk menghidupkan semula prinsip asal kerana setiap manusia dikurniakan kesedaran dalam hati yang mampu berdaya gerak untuk muhasabah diri, iaitu hisab diri di dunia sebelum dihisab di akhirat.
Rujukan
Al-Attas, S. M. N. (2001). Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC
Al-Attas, S. M. N. (1970). The Correct Date of the Trengganu Inscription: Friday, 4th Rajab, 702 A.H./Friday, 22nd February 1303, A.C. Kuala Lumpur: Museums Department States of Malaya
Al-Attas, S. M. N. (1970). The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: University of Malaya Press
Charles Habib Malik, (1987). A Christian Critique of the University (Pascal Lectures on Christianity and the University), 2nd Edition. Lectures Delivered at the University of Waterloo in 1981. Ontario: North Waterloo Academic Press
The Oxford Pastorate (online) https://oxfordpastorate.org/