Tahun ini, 8 Mei adalah sambutan Hari Ibu di Malaysia. Hari Ibu adalah hari yang paling bermakna pada insan yang bergelar Ibu, Mama, Emak, Mak, Ummi, Amma, Oma, Mum dan bermacam-macam nama lagi. Semestinya, gelaran Ibu bukan hanya untuk ibu kandung yang melahirkan kita, malah kepada sesiapa yang telah melaburkan masa, tenaga, harta dan kasih sayang kepada kanak-kanak yang memerlukan bimbingan semasa mereka membesar. Tidak kira bangsa, agama ataupun jantina, orang yang menjaga kita sehingga besar amatlah layak digelar ibu.
Ibu, dalam segala bentuk, menabur jasa dari segi fizikal, mental dan emosi dan memastikan keselamatan yang menyeluruh kepada anak di bawah jagaannya. Dialah juga menolong membina keperibadian kita dan memberi tunjuk ajar supaya kita dapat berdikari bila sudah dewasa nanti. Seperti adab mencerminkan keutuhan diri, ibu memainkan peranan penting dalam membentuk perwatakan yang kuat di kalangan kanak-kanak.
Di samping itu, bimbingan rohaniah (‘spiritual’) dan agama perlu juga diterapkan dalam didikan seorang bergelar ibu. Samaada mendapat khidmat sumber dari luar ataupun pengajaran di rumah sendiri, pengajaran agama yang kukuh dapat mewujudkan pendekatan yang lebih holistik terhadap keibubapaan (‘parenting’). Perasaan hormat dan segan kepada ibu membuatkan kita berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang perkara yang akan mendatangkan malu kepada diri sendiri dan ibu kita.
Selain itu, Ibu atau Figura Ibu (‘Mother Figure’), adalah tempat sesuai untuk kita mengadu segala masalah jika kita mahu. Walaupun ada yang tidak selesa untuk memberitahu kesulitan kepada ibu mereka, percayalah, ibu sering menunggu untuk anak menceritakan sesuatu perkara agar dia boleh selesaikan. Dan jika tidak dapat diselesaikan, dia amat gembira dan lega kerana boleh meluangkan masa bersama anak tersayang dan memahami kerenah anak dengan lebih dekat lagi.
Bapa tunggal, ibu tiri, ibu angkat, ibu susuan, mak saudara, nenek, nenek saudara, mak sepupu, sepupu dan setiap insan lain yang telah menjadi Figura Ibu, selamat menyambut hari Ibu di samping ibu-ibu kandung. Segala jasa baik dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai, akan kita ingat sampai ke hujung hayat kita. Ibulah tonggak masyarakat dan barisan pertahanan pertama dalam membanteras pengaruh yang buruk. Hargai dan sayangilah ibu tercinta yang bertungkus lumus membesarkan kita. Seperti yang Allah sudah janjikan, Syurga sememangnya dibawah telapak kaki ibu. Selamat Hari Ibu semua!