Mas Elizawati binti Mohammad Ali

Bulan Ogos, bulan kemerdekaan sudah pun hampir kepada penghujungnya. Tahun ini bulan kemerdekaan mempunyai kelainan kerana ia telah menyaksikan rakyat jelata di enam buah negeri di Malaysia turun ke pusat pengundian masing-masing untuk memilih para wakil yang dapat menyampaikan mandat mereka di dewan undangan negeri (DUN). Berlangsung pada Sabtu 12 Ogos yang lepas, pilihanraya negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah memuktamadkan kejayaan Pakatan Harapan (PH) di tiga negeri pertama diikuti dengan kesuksesan Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri yang terakhir.

Hari yang penuh bersejarah ini merupakan antara titik perubahan penting dan terkini di dalam arus politik tanahair. Kegagalan Kerajaan Perpaduan PH-BN (Barisan Nasional) untuk meraih undi majoriti di Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi tanda tanya tentang keteguhan identiti nasionalistik di kalangan warganegara Malaysia. Semestinya, pergolakan politik di negara kita memang adalah perkara yang lazim, apatah lagi lapuk untuk sesetengah rakyat yang sudah lali dengan kerenah manusia yang suka berpolitikus. Mungkin segelintir orang yang sinis mengenai politik negara mengambil jalan mudah dengan enggan membuang undi mereka dan ini dapat dilihat dengan jelas dengan peratusan rendah orang yang keluar mengundi pada PRN berbanding dengan pilihanraya umum tahun lepas.

Minggu lepas, PN telah mengisytiharkan logo dan tema mereka tersendiri untuk perayaan Hari Kebangsaan. Keputusan untuk mempromosikan logo dan tema alternatif yang berlainan daripada yang diuar-uarkan oleh kerajaan persekutuan adalah bagai buah melayang jauh tampuk dilupakan. Pasca-PRN, PN seakan-akan makin berani untuk mempertingkatkan agenda politik mereka. Walaupun parti pembantah tidak bersehaluan dengan gagasan kerajaan persekutuan, tindakan menghasilkan logo dan tema alternatif sangat mengecewakan. Sikap picik dan pendek akal semacam inilah yang membawa kepada kemerosotan pemikiran politik tanahair. Seperti yang dihujahkan oleh Penganalisis dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Sivamurugan Pandian, setiap negeri perlu mengikut ketetapan yang telah dibuat di peringkat Persekutuan kerana ia membawa visi kenegaraan dalam konteks yang lebih besar. Oleh sebab itu, konsep Malaysia Madani dalam tema sambutan tahun ini tidak wajar disifatkan sebagai suatu yang bermotifkan politik.

Dari perspektif pembelajaran di sekolah menengah, perkembangan arena politik di Malaysia perlu didebatkan dan diteliti supaya generasi masa kini dapat membuat keputusan yang arif dan telus apabila tiba giliran mereka untuk memilih pucuk pimpinan yang terbaik untuk negara. Guru berperanan sebagai moderator dalam menjawab sebarang kemusykilan yang timbul tanpa sebarang prejudis atau berpihak kepada mana-mana parti. Perwatakan ini memanglah perkara yang ideal, tetapi ideologi dan pendapat peribadi seseorang guru akan, secara tidak sengaja, terserap di dalam sesetengah jawapan yang diberi. Untuk para pelajar yang sedang sibuk bersiap-sedia menghadapi SPM, mereka tidak mampu membuang masa untuk mengambil berat sangat tentang arus politik negara. Namun begitu, mereka perlu endah dan mengetahui serba sedikit mengenai aliran politik Malaysia kerana mereka layak untuk mengundi selepas berumur 18 tahun, dengan syarat umur mereka 18 tahun pada tempoh yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 ini, tumpuan yang diberikan kepada isu logo dan tema, isu perkauman dan perbalahan agama, pancing undi, rasuah dan sebagainya, akan melemahkan semangat patriotik di kalangan orang awam. Jika pemimpin mereka lebih suka terlibat dengan keremehan berunsur politik, rakyat juga yang akan rugi dan rasa disisihkan. Oleh itu, sebarang persoalan yang dipertikaikan oleh pihak kawan dan pihak lawan, hendaklah diketepikan dan ditangguhkan untuk sementara waktu. “There is always a time and place for everything” (Ada masa dan tempat yang sesuai untuk segala benda). Pada hari mengingati sejarah negara tercinta yang telah bebas dari jajahan orang luar, marilah kita mengalihkan perhatian dan tenaga kepada keharmonian negara dan cara-cara untuk membebaskan masyarakat kita dari pelbagai hasutan dalaman dan luaran. Yang penting ialah kita semua bersatu-padu sebagai sebuah entiti yang mengutamakan kestabilan negara dan kebajikan penduduknya.

Leave a Reply