Mas Elizawati binti Mohammad Ali
8 Mac lalu kita telah pun meraikan Hari Wanita Antarabangsa (International Women’s Day) yang ke-48. Tema untuk tahun ini dipromosi secara meluas melalui media massa dengan tanda pagar (hashtag) #embraceequity atau #memelukkesaksamaan. Malangnya, tema kali ini dilanda kontroversi kerana ia telah memasukkan transgender (transjantina) ke dalam kategori wanita. Walaupun demikian, laman web rasmi IWD tampak berhati-hati dalam mengolah teks untuk tema tersebut dengan menonjolkan kandungan ayat yang gah dan mengangkat keutamaan talian sesama wanita (sisterhood). Jika dibaca apa sebenarnya yang tersirat, seseorang akan mengerti sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan memeluk kesaksamaan. Segala kekeliruan seterusnya terjawab apabila kita ikuti dengan menatal (scrolling) kebanyakan tajuk berita di internet untuk sambutan IWD tahun ini. Tentu sekali, sebagai seorang pendidik (mahupun ibubapa), kita harus sedar bahawa anak-anak didik kita sudah terdedah dengan perkara ini. Kalau di bilik darjah di negara Barat, mereka cenderung memperkenalkan isu ini kedalam subjek yang diajar, terutama sekali melalui bacaan novel dan buku komik seperti Lumberjanes ataupun ‘Senarai Bacaan Rainbow’ yang semakin panjang setiap tahun, ataupun dengan menjemput ibubapa atau personaliti LGBT untuk berkongsi cara hidup mereka di bilik darjah. Kini ada juga slot khas untuk ‘drag queen storytime,’ menurut artikel di laman web Yaqeen Institute yang bertajuk islam-and-the-lgbt-question-reframing-the-narrative
Di Malaysia, remaja–remaja juga semakin terdedah dengan cara hidup ini melalui rakan-rakan sekelas, kehidupan di asrama mahupun di kampus yang menyebabkan lahirnya ramai mahasiswa lelaki lembut sehingga menjadi sebuah trend (Hayati dan Hudani, 2015). 20 RABBANICA Vol. 1, No.1 (November 2020) e-ISSN: 2756-7893
Sistem pendidikan kita seharusnya dipelihara dari gejala pendidikan yang sewenang-wenangnya mengikut arus progresif yang memperjuangkan hak LGBT untuk diamal secara bebas. Masyarakat boleh berubah secara perlahan-lahan jika kita tidak peka dengan penyampaian para guru yang cuba mengambil kesempatan untuk menyuntikkan virus kecelaruan identiti yang menjadi tampuk zaman pasca-moden. Selama ini, pelajar-pelajar amat mementingkan isu identiti jantina mereka, kerana di dalam sesebuah bilik darjah, mereka sentiasa mempertikaikan kedudukan seorang pelajar lelaki berbanding dengan yang perempuan dari sudut susunan kerusi-meja, dari sudut pencapaian dalam ujian serta dari sudut potensi kerja di masa hadapan. Jadi tentulah isu jantina dan identiti harus di jadikan sebahagian dari perancangan kurikulum di sekolah.
Sebagai seorang wanita, saya rasa saya memang progresif dari segi menyokong pemerkasaan wanita. Namun begitu, saya tidak rasa saya mahu digelar sebagai seorang feminis. Feminisme masa kini kian bergolak dengan arus politik. Saya percaya apabila kita memperjuangkan hak wanita, isu keagamaan perlu dititikberatkan di dalam segala urusan yang berkaitan. Semestinya, manusia adalah diciptakan semata-mata dengan tujuan untuk menyerahkan diri kepada Allah, yakni termasuk mematuhi hukum-hukumNya. Inilah yang saya pasti mahu sampaikan kepada para pelajar saya, samaada dalam keadaan sedar atau tidak – kerana ianya adalah jati diri saya. Alangkah malangnya Hari Wanita Antarabangsa, yang meraikan kemajuan wanita dalam semua aspek kehidupan, telah berkembang (atau sebenarnya menguncup) ke suatu tahap yang begitu mengelirukan dan penuh permasalahan, terutama kepada masyarakat. Dimanakah silapnya sehingga generasi masakini tersungkur dalam kemelut ini?
Untuk memahami bagaimana dunia telah berubah daripada beberapa dekad yang lalu, kita perlu mencari pemangkin dalam bentuk peristiwa sejarah yang mempercepatkan perubahan itu. Daripada penulisan bernas di laman web Institut Yaqeen (Yaqeen Institute) berdasarkan pembentangan Dr. Carl Sharif El-Tobgui di saluran Youtube Blogging Theology (Teologi Blog), saya mendapat pencerahan mengenai pendirian Islam tentang LGBT dan cara merangka semula isu-isu yang berkait topik ini menggunakan hanya sumber Islam. Memandangkan huruf ‘T’ untuk akronim LGBT mewakili transgender, artikel itu telah membantu saya dalam menjawab pelbagai soalan yang menimbulkan kerunsingan kepada mereka yang kurang pendedahan dengan isu ini. Di bawah payung transgender pula, ada istilah transeksual yang lebih khusus. Bila dirujuk dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) transeksual membawa erti seseorang sama ada lelaki atau perempuan yang berperasaan dan berpenampilan sebagai anggota jantina yang satu lagi, dan kadang-kadang menukar organ jantinanya melalui pembedahan. Golongan ini juga keliru dengan identiti mereka sehingga mendakwa bahawa mereka terperangkap dalam tubuh lelaki atau sebaliknya lantas mendorong mereka berkelakuan seperti jantina yang diingini oleh naluri mereka yang bertentangan dengan jantina secara biologi (Arif Ariffin, 2019).20 RABBANICA Vol. 1, No.1 (November 2020) e-ISSN: 2756-7893
Seorang kenalan pernah memberitahu saya bahawa dia percaya dengan penemuan dan andaian spektrum orientasi seksual (sexual orientation spectrum). Ini bermakna seseorang yang heteroseksual boleh mempunyai kecenderungan sesama jantina, dan begitu juga sebaliknya. Mengikut dapatan spektrum ini, seseorang boleh tertarik dengan sesiapa – tidak kira lelaki atau perempuan – yang boleh memenuhi kriteria mereka. Dakwaan kajian yang dimuktamadkan dalam sebuah buku ini mengejutkan saya kerana ia bercanggah dengan apa yang saya telah pelajari tentang Islam. Sebagai seorang Muslim saya sedar bahawa segala penemuan pakar atau saintifik bukan semuanya boleh dipakai (seperti teori Darwin mengenai evolusi manusia), jika ia tidak sehaluan dengan kandungan Kitab Suci Islam. Sebagai sebuah negara yang menerapkan nilai-nilai keagamaan terutamanya Islam sebagai agama persekutuan, perkara ini harus dipupuk di bidang pendidikan.
Hatta, di sinilah terletak hujah utama yang diketengahkan dalam artikel yang telah saya baca di atas, berkaitan penyusupan sekularisasi dan budaya Barat liberal ke dalam dunia Islam dan juga semua agama tradisional. Untuk melihat bagaimana pergerakan tidak ortodoks ini telah berkembang, kita perlu kembali ke tahun 1960-an. Sebelum 1960-an, sebuah unit keluarga adalah paksi masyarakat yang begitu mengambil berat tentang keagamaan masing-masing.
Semua ini berubah dengan terciptanya pil perancang pada tahun 1960, sekali gus menjadi pemangkin kepada revolusi seksual Barat pada akhir 60-an. Pengenalan pil perancang ini membawa kepada pemikiran individu yang lebih mengutamakan diri (self-centred) di mana memenuhi keinginan peribadi menjadi matlamat paling penting dalam hidup. Kelaziman penggunaan pil perancang dalam masyarakat bermakna seks dan perkembangan zuriat (reproduction) hilang kaitannya antara satu sama lain lalu perkahwinan pun tidak lagi menjadi prasyarat untuk pasangan yang bercinta atau hanya bersama untuk memuaskan keinginan nafsu sementara. Pilihan dan kebahagiaan individu melebihi segalanya lalu masyarakat digalakkan tidak tunduk kepada norma agama dan moral. Bagi masyarakat sekular yang menganggap hidup beragama itu menyusahkan serta ketinggalan zaman, mereka tidak memperdulikan kesan jangka panjang kepada psikologi diri dan masyarakat serta faktor negatif lain yang mencengkam individu yang mengamalkan cara hidup yang lebih berfokus kepada kepuasan dirinya sebelum orang lain.
Dari mempertahankan kebebasan wanita, revolusi ini kemudiannya mencetuskan gerakan pembebasan homoseksual. Memandangkan hanya nafsu dan persetujuan bersama diperlukan untuk menjalinkan hubungan, penyokong revolusi seksual seterusnya melanjutkan agenda utamakan diri mereka kepada komuniti lain yang tersisih seperti golongan homoseksual. Akhir sekali, transgender pula telah dimasukkan kepada kategori kelompok terpinggir yang memerlukan perlindungan dan hak asasi. Kemasukan ini dapat direalisasikan oleh masyarakat sekular yang mahu melaksanakan sasaran liberal mereka, iaitu untuk menanam idea yang identiti jantina seseorang sebenarnya boleh berubah (fluid) dan tidak terhad kepada kategori lelaki atau perempuan sahaja (non-binary).
Ini adalah bertentangan dengan pesan Nabi Muhammad (S) yang mana terjemahan hadith dari Ibn ‘Abbās RA berkata:
“Nabi Muhammad (S) melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” (Saḥīḥ al-Bukhārī, no. hadith: 5546)
Hadith ini mungkin kedengaran keras bagi sesetengah orang, tetapi ianya harus difahami mengikut konteks persekitaran Nabi di zaman itu. Dari perspektif seorang Muslim, apa sahaja pesan dari Nabi Muhammad, adalah suatu rahmat Tuhan kerana sebagai pesuruh Allah, baginda dihantar untuk memimpin masyarakat ke arah kebahagiaan dunia dan Akhirat. Ianya memerlukan masyarakat Islam yang bersatu untuk menimba ilmu keagamaan bagi membolehkan lebih ramai lagi yang memahami tujuan (maqsud) sesuatu larangan, dan bukannya mencemuh kerana tidak sehaluan dengan nafsu peribadi.
Jika kita teliti hukum Islam, Allah telah menciptakan dua jantina, iaitu lelaki dan perempuan. Tidak ada perbezaan antara jantina biologi dan apa yang dirujuk kebanyakan orang di Barat hari ini sebagai ‘jantina psikologi’ (psychological gender). Seseorang yang dilahirkan dengan tubuh wanita akan mengalami identiti tersebut dan menyatakan dirinya sebagai seorang wanita (dan sebaliknya untuk lelaki). Banyak ayat dalam Al-Quran menekankan sifat yang berbeza dan saling melengkapi di antara kedua-dua jantina ini, dengan ‘reka bentuk’ jasad manusia yang ditaqdirkan (intentional design) oleh Allah dan bagaimana mereka diciptakan untuk menjadi teman hidup masing-masing.
Dalam aliran yang sama, Allah juga menekankan kesaksamaan rohani (spiritual equality) antara lelaki dan wanita dalam meraih keampunan dan nikmatNya. Walaupun lelaki dan wanita dianggap sama dari segi rohani, Allah mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai peranan, hak dan tanggungjawab berbeza yang dapat membimbing cara mereka berinteraksi di rumah dan di dalam masyarakat. Seperti yang Allah kehendaki setelah meniupkan ruh ke dalam tubuh Nabi Adam dan Hawa, lelaki dan wanita adalah berbeza dari aspek biologi, psikologi, pembawaan, dan fisiologi.
Selain itu, Allah memaklumkan “lelaki adalah pelindung dan pemelihara wanita” (al-rijālu qawwāmūna ʿalā al-nisāʾ). Tugasan istimewa mereka ialah mengambil tampuk kepimpinan seperti menjadi ketua rumah tangga atau masyarakat atau pun imam di masjid. Sebaliknya, wanita diberikan hak untuk dibiayai dari segi kewangan sepanjang hayat mereka kerana sumbangan khusus dan pengorbanan mereka dalam menjaga hal rumah tangga terutamanya berkaitan dengan tarbiyah anak-anak. Oleh itu, konsep ‘ekuiti’ atau kesaksamaan di dalam Islam mesti mengambil kira perbezaan besar dan ketara di antara lelaki dan wanita.
Malah, dari segi teleologi, tubuh lelaki dan wanita dicipta dengan tujuan untuk melengkapkan fungsi dan keperluan biologi di antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, pelengkap lelaki dan wanita melangkaui biologi. Di dalam pembawaan diri kita (disposition), kita mendapati dualitas sifat maskulin dan feminin. Maka, peranan bapa dan ibu tidak boleh ditukar ganti. Sebagai Pencipta badan kita, Allah mempunyai kata putus tentang cara Dia menganugerahkan badan dengan makna dan menetapkan had bagaimana kita boleh menggunakannya.
Ini membawa kita kepada persoalan seterusnya: peniruan yang disengajakan terhadap jantina yang dikaitkan dengan transgender. Seperti yang dijelaskan sebelumnya dalam Surah An-Najm ayat 45: “Dan Dia menciptakan dua jantina, lelaki dan perempuan.” Oleh itu, menurut pemahaman Islam, Allah telah sengaja merancang tubuh manusia supaya ada tiga perkara – jantina biologi, identiti jantina dan tarikan seksual – adalah sejajar secara normatif. Apabila tiga perkara ini tidak sejajar, seseorang yang mengalami Kecelaruan Identiti Jantina (‘Gender Identity Disorder’ (‘GID’) atau Disforia Jantina (Gender Dysphoria)) yang boleh difahami sebagai suatu tekanan hidup berpunca dari kecelaruan jantina serta/dan tarikan sesama jantina harus berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi objektif dan reka bentuk biologi mereka yang sempurna dirancang oleh Maha Pencipta.
Menurut prinsip Islam (dalil), terdapat perbezaan yang jelas di antara perasaan (feeling) dan tindakan (action) apabila melibatkan tanggungjawab moral untuk seseorang yang sedang melalui kecelaruan jantina lalu tertarik sesama jantina. Dalam erti kata lain, seseorang tidak dipertanggungjawabkan untuk perasaan yang sedang dia lalui; namun seseorang bertanggungjawab jika dia bertindak mengikut perasaan itu. Oleh sebab itu, dia dikira berdosa bila melakukan aktiviti seksual yang dilarang agama atau menyamar perwatakan secara sengaja untuk menonjolkan jantina berbeza. Ini juga termasuk memakai pakaian jantina yang diluar fitrah biologi dan membuat peralihan secara sosial, kimia atau pembedahan untuk menidakkan jantina asalnya.
Berkenaan dengan konsep maskuliniti dan femininiti pula, kita perlu mengambil kira adat bermasyarakat (‘urf) yang dilalui oleh setiap insan. Kita boleh menggunakan ʿurf untuk menentukan sama ada pakaian, minat, dan tingkah laku tertentu dianggap sebagai maskulin atau feminin mengikut peredaran masa dan tempat yang dipilih. Sebagai contoh, orang lelaki Melayu-Islam yang memakai kain pelekat untuk mengerjakan solat ataupun lelaki Arab yang berjubah, mungkin tampak feminin kepada orang luar yang tidak biasa dengan budaya tersebut. Seorang Muslim mesti sentiasa menghormati adat (ʿurf) jantinanya selagi ia tidak melanggar hak dan tanggungjawab lelaki dan wanita seperti yang telah digariskan oleh Islam. Walau bagaimanapun, seperti biasa, terdapat had untuk mematuhi ʿurf kerana Islam membetulkan adat yang melampaui batas.
Di samping itu, ulama Islam menerima situasi di mana seseorang individu boleh mempunyai ragam, gaya berjalan, suara, dan sebagainya yang tidak tipikal bagi orang dengan jantinanya, yang terjadi dalam diri seseorang sama ada secara semula jadi (khilqī) atau kepura-puraan yang disengajakan (ghayr khilqī). Istilah mukhannath merujuk kepada seorang lelaki yang mempunyai ragam feminin, manakala istilah mudhakkarah merujuk kepada seorang perempuan yang memiliki ragam maskulin.
Berdasarkan Kitab Suci Al-Quran dan konsensus ulama, kita dilarang berpura-pura membuat gerak laku lain-jantina (gender atypical mannerisms) dengan cara sengaja. Walau bagaimanapun, ada perbezaan pendapat untuk mereka yang mempunyai gerak laku atipikal jantina secara semula jadi (khilqī). Ada juga yang berpendapat bahawa seseorang yang mempunyai sifat mukhannath (feminin) atau mudhakkarah (maskulin) mesti mencuba secara munasabah untuk memulihkan perangai mereka agar menjadi lebih serasi dengan jantina mereka sendiri. Namun, ada juga lain yang memutuskan bahawa mereka tidak bertanggungjawab atau perlu untuk menjalani pemulihan sedemikian.
Seperti yang telah dibicarakan di atas, Islam tidak mendefinisikan atau mengkategorikan manusia berdasarkan perasaan dalaman mereka, seksual atau sebaliknya. Apa yang lebih penting untuk identiti teras seseorang adalah menjadi hamba Allah dengan penuh ketundukan dan kecintaan kepadaNya dan patuh kepada jalan yang telah ditetapkan untuk kesejahteraan dan kejayaan manusia sehingga hari Kiamat. Dengan menolak paradigma liberal kontemporari dan sebaliknya menawarkan paradigma Islam kepada umat Islam yang bergelut dengan disforia gender, ia dapat memberi jaminan kepada mereka bahawa perjuangan untuk taat setia kepada Allah mungkin menjadi salah satu sebab mereka dapat mencapai darjat mujāhidūn sejati di jalan Allah. Tugas untuk mengingatkan masyarakat jatuh ke atas bahu seorang guru. Malahan kita tidak harus lupa bahawa para nabi itu adalah seorang guru. Maka tugas seorang guru itu tidaklah terhad hanya kepada subjek yang diajarnya sahaja, tetapi dia harus menggalas tanggungjawab memastikan kesejahteraan masyarakatnya di masa akan datang.
Paling utama adalah sifat-sifat positif yang harus ada dalam seorang pendidik dengan menyantuni para pelajar yang kita dapati telah terjebak dalam kemelut LGBT khususnya transgender. Sokongan emosi dan rohani daripada masyarakat Islam adalah penting, sama ada daripada imam, kaunselor, keluarga, rakan-rakan dan lain-lain. Banyak sumber (sama ada dalam talian atau alam nyata) kini tersedia untuk umat Islam yang sedang mengalami masalah ini di mana ia akan dapat menolong mereka untuk menjauhkan diri daripada menerima atau mengikuti paradigma liberal sekular yang berfokuskan identiti seksual. Sekali lagi saya tekankan bahawa identiti orang Islam tidak dikenal pasti melalui seksualiti mereka; sebaliknya mereka diiktiraf melalui komitmen dan penyerahan mereka kepada Allah yang mencipta mereka untuk tujuan itu semata-mata. Para pendidik tidak seharusnya melabel, memaki atau mengejek mereka dengan panggilan atau gelaran seperti ‘lelaki lembut’, ‘male femailing’, ‘male efiminet’, ‘mak nyah’, ‘bapok’, ‘male transexual’ dan ‘pondan’. Dengan menuntut semula bahasa kita (menggunakan perkataan deskriptif tanpa sebarang bagasi identiti bila membincangkan isu LGBT) dan mewujudkan paradigma jantina dan seksualiti berfokuskan Islam, umat Islam akan lebih bersedia untuk mengemudi wacana kontemporari LGBT dan menyokong perjuangan setia seseorang yang sedang mengalami isu ini secara rohani, emosi dan sebagainya.
Amat mustahak untuk umat Islam menyedari akan penyebaran paradigma jantina dan seksual Barat ke dalam dunia Islam. Kita mesti sentiasa berwaspada terhadap projek LGBT yang bersifat ‘neokolonial’ ini di mana masyarakat di negara lain terpaksa menerimanya sebagai “kebenaran” yang tidak boleh dirunding dan mesti dilaksanakan dari segi moral. Persepsi yang serong tentang “peradaban Barat lebih mengetahui apa yang baik untuk manusia sejagat” sememangnya tidak sesuai dengan ajaran agama Islam apabila ia melibatkan paradigma identiti seksual. Salah satu contoh adalah bila penyokong LGBT di Barat mengutuk Qatar sebagai penganjur Piala Dunia 2022 kerana undang-undang negaranya yang ketat berkaitan isu homoseksualiti dan transjantina.
Sebagai seorang guru, kita harus sentiasa sedar arus yang melanda masyarakat kita serta diri kita sendiri. Gurulah pejuang di akhir zaman, dan bisa melatih lebih ramai lagi pejuang yang mungkin tertekan dengan cabaran masakini. Bila seorang pejuang itu memperolehi ruang yang selamat untuk membicara masalahnya, dia akan sedikit demi sedikit sedar tentang tujuan sebenarnya sebagai khalifah di bumi Allah. Dia sendiri akan mengambil langkah untuk mengawal nafsunya selaras dengan perintah Tuhan. Akhir sekali, dia akan berasa tenang dan gembira melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala kemungkaran kerana Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman – “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya” (Surah Ash-Shams Ayat 9).