Sorotan Pendidikan Pasca-Pandemik 2022
Dr Khalina M. Khalili
Alhamdulillah kita telah mengorak langkah ke suatu permulaan baru dengan kedatangan tahun baru 2023. Selamat Tahun Baru sidang pembaca! Tahun baru merupakan waktu yang sibuk bagi para guru kerana berbagai perancangan harus disiapkan sebelum penggal baru bermula (seperti penggal ke-3 di Malaysia). Apatah lagi di sesi persekolahan yang baru seperti di Singapura pada 4 Januari tahun ini. Tetapi tidak semua negara memilih untuk menjadikan awal tahun sebagai permulaan sesi persekolahan. Kita dapat bandingkan sistem kalendar yang berbeza seperti contohnya kalendar persekolahan Thailand (Mei-Mac) yang disusun bagi mengelak musim kemarau dan kalendar persekolahan Filipina yang bermula pada pertengahan Ogos 2022 dan berakhir pada Julai 2023. Penulisan kali ini bertujuan untuk menyorot kembali cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakan guru semua di tahun lepas dimana pandemik Covid-19 telah surut dan kita memulakan kehidupan dengan norma baru.
Akibat dari wabak Covid-19 yang melanda masyarakat sedunia di awal tahun 2019, tahun 2022 masih lagi terkesan dengan bahang pandemik tersebut. Kerana itu, sesi persekolahan yang berlangsung adalah sesuatu yang disebut sebagai ‘new-normal’ kerana para guru, murid dan ibubapa perlu bersedia dengan kemungkinan sekolah akan ditutup lagi jika wabak menyerang dengan strain dan varian yang baru dan pelbagai. Tetapi, bukan itu saja yang dikatakan norma baru persekolahan. Kebanyakan guru-guru diseluruh dunia menghadapi masalah kemerosotan keputusan pembelajaran pelajar-pelajar terutamanya dalam subjek asas iaitu bacaan, penulisan dan matematik.
Walaupun ini suatu masalah yang akan membebankan sistem pendidikan selama beberapa tahun kedepan, ada lagi masaalah lain yang perlu di pantau sekaligus.
Antara masaalah tersebut adalah kekangan tenaga pengajar, kemerosotan prestasi para pelajar, masaalah kesihatan jangka panjang dikalangan guru, murid dan ibubapa, tekanan mental, tekanan (stress) dan rasa serik (burnout) berkaitan tugasan sekolah. Segala cabaran ini bertambah meruncing di daerah pedalaman, di negara-negara yang berpenduduk padat terutamanya apabila kerajaan tidak dapat mengambil tindakan dengan pantas.
Masaalah kekurangan tenaga pekerja, tentu sekali berpunca dari guru-guru yang bersara kerana tidak mampu menghadapi tekanan yang tidak diduga, ataupun faktor-faktor lain seperti kesihatan dan kurang motivasi. Ada yang berasa kesal kerana tidak dapat memberikan yang terbaik ketika pembelajaran waktu pandemik kerana murid-murid menghadapi cabaran mereka sendiri yang berpunca dari kelemahan ekonomi, masalah sosial dan kebuntuan akal. Guru-guru tidak diberi persediaan yang sewajarnya dalam mengatasi masalah yang terlalu kritikal untuk seorang insan bernama guru. Selain itu juga, usaha-usaha yang dilakukan seolah-olah tidak dihargai oleh sesiapa, terutama sekali pihak ibubapa dan sebagainya. Ini tidak menimpa semua guru, kerana ada sesetengah sekolah yang mempunyai jaringan simpati yang kuat dikalangan guru-guru sendiri. Mereka bertuah apabila ada guru-besar yang menguruskan program-program motivasi, persiapan internet dan teknik pengajaran yang diperlukan oleh guru-guru yang belum bersedia. Marilah kita renungkan bersama akan ciri-ciri bantuan yang telah disediakan oleh pemerintah di daerah dan negara kita sendiri, dan tindakan kelompok masyarakat kita – tidak kiralah samaada kelompok para guru, ibubapa ataupun orang-orang kampung di tempat kita bertugas mendidik anak-anak mereka. Wujudkah sokongan dan bantuan yang bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi ketika pandemik atau adakah guru-guru terpaksa bertindak bersendirian?
Di Amerika Syarikat, suatu kajiselidik oleh RAND Corporation mendapati para guru lebih tertekan disebabkan oleh pandemik Covid-19 berbanding kerjaya lain. Kes ‘stress’, ‘burnout’ dan ‘depression’ didapati melibatkan 2,360 guru. Dengan itu Citra Guru telah menjenguk situasi pendidikan di beberapa buah negara di Asia Tenggara bermula dengan Singapura.
Singapura
Di Singapura, purata bilangan guru yang memohon dan mendapat perkhidmatan kaunseling dari Kementerian Pendidikannya telah meningkat dari 40 kes setahun (dari tahun 2017-2019) ke 70 kes setahun dari tahun 2020-2021. Kerajaan Singapura telah berusaha untuk mengatasi peningkatan dalam risiko tekanan kerja terhadap pendidik dengan menyediakan perkhidmatan untuk memantau kesihatan mental. Suatu khidmat kaunseling online di lancarkan pada bulan Mac 2021 dimana suatu sistem Duta Sejahtera (Wellness Ambassador) diwujudkan bagi mendapatkan guru-guru terlatih untuk memberi sokongan mental dan nasihat kepada rakan-rakan sekerjaya. Disamping itu bilangan guru disebanyak 100 buah sekolah akan ditambah pada tahun-tahun yang akan datang.
Filipina
Di Filipina pula suatu kajian oleh penyelidik Potchong M. Jackaria mendapati ada beberapa faktor yang membimbangkan guru ketika mereka mula mengajar secara bersemuka di fasa norma baru. Antara faktor yang perlu dititik-beratkan oleh guru-guru untuk sesi pembelajaran face-to-face adalah, ubahsuai bilik darjah, reka-cipta bahan-bahan pengajaran, persediaan psikologi-social untuk anak-anak murid dan inovasi dalam strategi pengajaran para guru. Tentu sekali faktor kesihatan perlu dititik-beratkan dengan menyediakan bahan-bahan pembasmi kuman (sanitizer) dan kelengkapan alatulis yang mengurangkan interaksi fizikal secara bersentuhan. Tidak hairanlah, guru yang diwawancara mengatakan bahawa langkah awal persediaan tersebut adalah penyesuaian persepsi-diri atau ‘self-adjustment’ melibatkan psikologi diri:
“In my case, I focused first on self-adjustment,”
Sebenarnya persediaan psikologi ini sentiasa berulang setiap kali kita keluar dari rumah. Kemungkinan untuk menghadapi pandemik itulah yang kita maksudkan dengan new-norma. Ertinya, wabak itu tetap menghantui kita, dan sebagai insan biasa kita mudah merasa lemah dan ingin mengalah. Tetapi inilah cabaran yang memanggil kita untuk menunjukkan contoh terbaik kepada para pelajar, ibubapa dan juga masyarakat. Seorang guru adalah insan terpilih dikalangan ramai orang kerana mereka lebih terpelajar dan seharusnya berakhlaq mulia. Di saat-saat seperti ini kita, para guru juga memerlukan sokongan mantap dari rakan pendidik, mentor dan juga pemerintah. Di Filipina, suatu program perkembangan profesional guru yang diselenggarakan oleh ketua guru memberi kesan positif dalam melengkapkan para guru dengan strategi dan pedagogi yang dapat menambat hati para pelajar.(Jackaria & Caballes (2022)
Indonesia
Disebabkan keruncingan masalah pembelajaran sejak pandemik ini, pihak pemerintah Indonesia begitu peka akan kepentingan kolaborasi atau kerjasama antara pihak sekolah dan keluarga murid. Direktor Sekolah Dasar, Kemendikbud Ristek (Kementerian Pendidikan), Dr. Muhammad Hasbi menyatakan bahawa kerjasama ini harus dipereratkan lagi.
“Mari kita perkuat lagi kolaborasi antara orangtua dan satuan pendidikan, sehingga kita dapat melanjutkan kesinambungan stimulasi anak kita, pendidikan anak kita dari rumah ke sekolah dan juga dari sekolah ke rumah.”
Kita sememangnya telah lama sedar akan peribahasa Afrika yang bermaksud: It takes a village to raise a child. Jadi ‘village’ itu adalah kelompok yang boleh jadi kecil seperti dikalangan guru di sebuah sekolah hinggalah ke seluruh negeri, negara mahupun seluruh Nusantara. Pemerintah Indonesia juga menyatakan hasrat untuk menerajui perkembangan pendidikan yang lebih berkesan di seluruh ASEAN melalui projek ASEAN Workplan 2021-2025. Beberapa komitmen di rancang bagi menyelesaikan masaalah yang dihadapi 12 negara ASEAN berkenaan pendidikan.
“Tujuh komitmen tersebut antara lain untuk peningkatan kualitas pendidikan khususnya untuk jenjang pendidikan anak usia dini dan pendidikan inklusif, asesmen pembelajaran pada jenjang pendidikan dasar, serta peningkatan kompetensi guru.”
“Pelaksanaan komitmen juga menyangkut peningkatan mobilitas siswa dan mahasiswa di dalam dan antar kawasan, peningkatan citra positif pendidikan vokasi dan pelatihan keterampilan, serta penguatan kolaborasi antara pendidikan dengan dunia usaha dan dunia industri.”
Citra Guru senang menjadi pemerhati akan usahasama antara pemerintah negara-negara di Asia Tenggara dan juga dikalangan pendidik itu sendiri. Diharap lebih ramai pendidik akan menyuarakan idea dan pandangan mereka tentang usahasama ASEAN di sini.
Thailand
Di sekolah-sekolah di Thailand pula, beberapa kaji-selidik mendapati bahawa para guru memerlukan beberapa sokongan dalam menghadapi kesan pandemik ditahun-tahun yang lepas. Antara yang meruncing adalah pedagogi atau bantuan strategi pengajaran atas talian dan bersemuka (hybrid) beserta dengan sistem pengurusan para pelajar yang berkesan dan menjimatkan masa dan tenaga guru saban hari. Yang kedua pula adalah sokongan emosi diikuti oleh sokongan dari masyarakat sekitar terutamanya para ibubapa. Guru-guru menyatakan bahawa ibubapa perlu memerhatikan kecenderungan anak-anak mereka dalam pembelajaran yang berbentuk mandiri dan cuba untuk memberi perangsang kepada mereka agar guru-guru dapat mengumpulkan perhatian semua murid dan melengkapkan pengajian dengan sekata.
Malaysia
Di Malaysia, para guru menghadapi cabaran yang hampir sama. Walaubagaimanapun sokongan yang didapati oleh guru-guru Malaysia dari ibubapa dan masyarakat boleh dikatakan baik. Ini kerana sokongan asas yang diperlukan adalah jaringan Internet dan kandungan silibus dari sumber yang berbagai – ianya ada melalui berbagai sumber media sosial dan televisyen. Masaalah pembelajaran ditangani dengan kadar sederhana di Malaysia, dan boleh dikatakan memuaskan bagi sebuah negara yang membangun. Walau bagaimanapun, sebarang kekurangan yang ada sering di selesaikan dengan sokongan masyarakat awam melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga usahawan sosial (social enterprise) Contohnya Project-ID telah membuat kaji-selidik tentang sikap murid terhadap pembelajaran dan mendapati bahawa mereka telah menjadi lebih cenderung dengan pembelajaran digital. 53% sahaja yang suka belajar di sekolah, manakala 40% lagi mahukan pembelajaran hibrid. Mungkin mereka sama seperti ibubapa yang juga gemar bekerja dari rumah.
Begitu banyak cabaran yang telah dilalui dan banyak pula onak dan duri yang bakal kita tempuhi. Namun sebagai insan terpelajar itulah tanggungjawab kita untuk masyarakat kita. Sama-sama kita menaruh harapan agar guru-guru di Asia Tenggara akan terus berkhidmat dengan kerjasama erat sesama kita. Beberapa cadangan dari UNESCO menyatakan bahawa guru-guru harus pro-aktif dalam menyusun rencana pengajaran yang bersesuaian dengan objektif yang ingin di capai. Amat penting bagi para guru untuk menilai usaha dan pencapaian mereka sendiri dan bukannya mengikut suatu sukatan pengajaran pada tahap yang ditentukan oleh pihak yang tidak memahami anak-anak murid yang disasarkan. Guru-guru harus yakin diri dengan keupayaan mereka untuk memberikan yang terbaik untuk setiap anak-anak didik mereka tanpa membebankan kedua-dua pendidik dan pelajar itu sendiri.
Untuk bantuan pengajaran di Indonesia, klik
Untuk sokongan mental di Singapura, klik
Untuk rencana pengajaran berasaskan game dan digital, klik