ADAB SEBAGAI PENDIDIK
Rizky Febrian (Indonesia)
Imām al-Ghazālī di dalam karyanya, Bidāyat al-Hidāyah (Permulaan Jalan Hidayah) ada mengemukakan beberapa saranan adab seorang ilmuwan pendidik (ā‘lim) untuk direnungi dan dijadikan sebagai panduan. Beliau berkata:
“Sekiranya kamu seorang ilmuwan pendidik, maka adab-adabnya adalah:
1.Kuat-teguh menanggung masalah dan kesusahan (iḥtimāl),
2.Sentiasa bersifat kasih sayang (ḥilm),
3.Duduk dengan haybah (kewibawaan) dalam keadaan tetap dan menundukan kepala,
4.Meninggalkan sikap takbur terhadap segala sekalian hamba Allah melainkan terhadap orang yang zalim demi menghalang mereka dari berbuat zalim,
5.Bersikap tawaduk pada perhimpunan orang ramai dan majlis keramaian,
6.Meninggalkan bergurau dan bermain-main,
7.Berlemah lembut terhadap pelajar,
8.Membimbing murid yang bebal,
9.Membina pelajar yang lemah dengan didikan yang baik tanpa marah,
10.Tidak malu mengaku ‘Saya tidak tahu’,
11.Memberikan perhatian kepada orang yang bertanya soalan dan berusaha memahaminya dengan baik,
12.Menerima hujah atau dalil yang dihadapkan kepadanya,
13.Sentiasa berpegang kepada kebenaran dan merujuk kepadanya tika tersilap,
14.Menegah murid daripada ilmu yang memudaratkannya,
15.Menghalang murid daripada mempelajari ilmu yang berguna tetapi tidak kerana Allah SWT,
16.Menegah murid daripada menuntut ilmu fardu kifayah sebelum ia menyelesaikan ilmu fardu ain. Dan ilmu fardu ain itulah yang berkenaan dengan memperelokkan zahir dan batinnya dengan ketakwaan.
17.Mengusahakan ketakwaan untuk dirinya terlebih dahulu, agar menjadi ikutan muridnya dari segi amalan. Dengan begitu, barulah kemudian muridnya dapat mendapat faedah daripada apa yang diperkatakan.”
Sumber Rujukan:
Imām al-Ghazālī, Bidāyat al-Hidāyah. Jeddah: Dār al-Minhāj, 2008, mukasurat 236-239.