Reviu Buku: Educated oleh Tara Westover terbitan Random House: New York
Penulis: Juliyana binti Junaidi (Malaysia)
Pendidikan merupakan salah satu hak asasi manusia yang sewajarnya diberikan kepada semua. Ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah, “Iqra”, satu perintah membaca adalah berkait rapat dengan elemen pendidikan. Pendidikan beperanan mencerahkan akal, membebaskan seseorang daripada kebodohan, memandu tujuan hidup bahkan boleh merubah taraf hidup seseorang. Malaysia telah membuktikan bahawa pendidikan dianggap serius dengan perangkaan Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib yang telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2003. Dasar ini mewajibkan ibu bapa warganegara untuk mendaftarkan anak yang mencapai umur 6 tahun pada hari pertama tahun persekolahan. Pendidikan ini dikategorikan sebagai pendidikan formal yang mana ia merangkumi hubungan antara pihak sekolah, guru dan pelajar. Pendidikan tidak formal pula adalah jenis pembelajaran yang berlaku di luar bilik darjah, dan tidak melibatkan institusi pendidikan dan peranan guru. Tara Westover, penulis memoir ‘Educated’ adalah tergolong dalam kategori ini. Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Idaho, sebuah lembah yang dipenuhi gunung-ganang, di dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Mormon, salah satu cabang agama Kristian. Bapa beliau beranggapan bahawa institusi pendidikan dan institusi kesihatan merupakan indoktrinisasi kerajaan terhadap rakyat. Justeru, beliau mengambil langkah untuk mengecualikan keluarganya daripada mengikuti arus perdana dengan memberi pendidikan informal kepada anak-anak beliau melalui ibu mereka. Selain itu, bapa Tara yang merupakan seorang yang memiliki kemahiran hidup yang tinggi, sering melibatkan anak-anak beliau dalam pekerjaan beliau yang berbahaya sehingga kadangkala mengakibatkan beberapa kemalangan yang ngeri.
Tidak dapat tidak kita perlu akui bahawa ibubapa memainkan peranan yang penting dalam pembangunan insaniah individu. Bapa merupakan lelaki pertama yang menjadi model kepada anak-anak dimana anak akan belajar kemahiran berkomunikasi, bekerja, etika bekerja dan prinsip hidup. Ibu pula kebiasaannya menawarkan kasih sayang, keharmonian, dan keamanan kepada anak-anak. Tara menjadi individu hebat sekarang, yang melanjutkan pelajaran dari Harvard ke Cambridge, sehingga ke peringkat doktor falsafah, adalah merupakan kebangkitan daripada kegagalan bapanya mengemudi keluarga. Walaupun sejak dari kecil, ‘kebenaran’ sesuatu perkara hanyalah daripada lensa bapa beliau, Tara berjaya membina perspektif sendiri setelah pergi ke institusi pendidikan dengan hasil titik peluh beliau. Antara momen menarik diceritakan dalam buku ini adalah berkenaan “holocaust”. Tara diminta membaca teks yang terdapat perkataan itu namun beliau tidak menyebutnya dan bertanyakan kepada guru beliau bagaimana untuk menyebutnya. Namun, guru beliau yang tidak tahu bahawa Tara tidak pernah ke sekolah sebelum ini beranggapan beliau bergurau tentang isu “holocaust”.
Selain itu, bapa Tara juga gagal mengharmonikan hubungan beliau dengan adik-beradiknya sehingga Tara kerapkali mempersoal realiti dan kewarasan beliau disebabkan sikap manipulatif bapa dan adik-beradiknya. Istilah “gaslight” mungkin agak tepat untuk diberikan apabila Tara yang dicederakan secara dahsyat oleh abang beliau telah diabaikan oleh ibubapanya. Apabila Tara mengadu kepada ibunya, ibu bapanya bersungguh-sungguh menidakkan bahawa kejadian itu berlaku kepada Tara dan beliau mempersoalkan memori Tara walaupun kesan fizikal tersebut masih dapat dirasai. Namun begitu, Tara bangkit untuk tidak mencontohi sikap kedua ibubapanya dan terus mengorak langkah untuk memberi pendidikan kepada dirinya walaupun dihalang keras oleh bapanya. Beliau terpaksa mengumpul wang sendiri hasil bekerja beliau untuk menanggung perbelanjaan persekolahan.
Mormon dan Islam
Pemahaman bapa Tara terhadap ajaran Mormon adalah agak rigid dan tidak berpegang kepada realiti. Disebabkan pengetahuan saya yang terhad terhadap Mormonisme, maka saya tidak dapat mengulas lanjut sama ada ia benar daripada ajaran agama tersebut ataupun pemahaman agama bapa Tara terhadap mormonisme itu yang sempit sekaligus membantutkan pengaplikasian ‘syariah’ tersebut pada era kontemporari. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Mormon adalah sebuah kultus (cult) berbanding sebuah ajaran agama.
Ketidakpercayaan bapa Tara kepada institusi pendidikan kerana ketakutan didoktrinisasi kerajaan telah menyebabkan kerugian kepada masa depan anak-anaknya. Pengekangan pendidikan untuk diberikan kepada anak-anak ini bukanlah perkara yang baru. Malah, ia juga berlaku kepada sebahagian Muslim yang jumud, yang menggunakan teks sakral Islam, Al-Quran dan Sunnah sewenang-wenangnya untuk menjustifikasi tindakan ekstrem ini. Contohnya, puak Taliban di Afghanistan telah menghalang wanita daripada mendapat pendidikan kerana berpendapat bahawa Islam tidak membenarkan wanita diberi pendidikan memandangkan fungsi hayatnya hanyalah sebagai suri rumah. Mereka gagal menyelami contoh terdekat dengan Rasulullah sendiri iaitu Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah yang merupakan ikon keusahawanan dan pendidikan pada zaman Rasulullah. Para sahabat seringkali bertanyakan pendapat Aishah perihal agama dan menjadikan beliau sebagai sumber rujukan yang absah dalam pelbagai bidang keagamaan. Khadijah pula merupakan individu hebat dalam keusahawanan yang sangat menekankan aspek moraliti dalam perniagaan beliau. Usaha untuk menyekat pendidikan untuk anak-anak adalah sangat tidak berintegriti dan bermoral kerana ia boleh memusnahkan masa depan mereka. Mentaliti yang beranggapan bahawa ‘wanita hanya berperanan sebagai suri rumah maka pendidikan itu tidak sesuai untuk mereka’ itu pincang kerana ibu merupakan sekolah pertama anak-anak. Sekiranya ibu yang tidak berpendidikan mendidik anak-anak, kebarangkalian untuk anak-anak itu mendapat keperibadian yang unggul itu juga tipis.
Selain daripada itu, penolakan terhadap institusi kesihatan juga merupakan salah satu tema Educated. Bapa Tara tidak mempercayai instusi kesihatan kerana menurut beliau sebarang ubatan yang dimasukkan ke dalam badan akan melemahkan manusia dan menjadikan manusia tunduk terhadap kehendak kerajaan dalam segala aspek. Isu yang sama juga boleh didapati dalam negara kita ketika isu wabak covid-19 melanda. Ada segolongan rakyat yang tidak mempercayai vaksin dan menuduh kerajaan meletakkan cip untuk mengawal rakyat jelata menurut kehendak mereka. Mereka beranggapan bahawa ‘makanan sunnah’ itu sudah mencukupi untuk menghindari dan merawat diri apabila terkena covid-19. Penolakan mereka terhadap vaksin juga telah mengakibatkan sebahagian daripada mereka dibuang kerja kerana sesetengan syarikat meletakkan vaksin sebagai syarat individu berkhidmat untuk menjaga kemaslahatan staf mahupun klien. Pendapat sebegini timbul apabila berlaku salahfaham berkenaan pembahagian sunnah.
Menurut Syeikh Mahmud Syaltut, sunnah dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu sunnah tashriiyyah dan ghayr tashriyyah. Sunnah tashriiyyah membawa erti sunnah yang membawa kepada pensyariatan dan sunnah yang tidak membawa pensyariatan. Antara contoh sunnah tashriiyyah adalah seperti pensyariatan yang berkaitan dengan hukum hakam dan rukun Islam seperti cara menunaikan solat, puasa, dan sebagainya. Selain itu, ilmu berkenaan alam akhirat seperti gambaran syurga dan neraka juga termasuk dalam kategori ini. Manakala, sunnah ghayr tashriyyah pula adalah sunnah yang tidak melibatkan pensyariatan keatas manusia seperti pengalaman Rasulullah, makanan dan minuman Rasulullah, tibb nabawi (perubatan Rasulullah), dan sebagainya. Sesiapa melakukan Sunnah ghayr tashriiyyah seperti mengikuti cara makan, minum, tidur, dan kaedah perubatan atas dasar cinta kepada Rasulullah adalah amat digalakkan, namun ia tidak mendatangkan dosa sekiranya tidak melakukannya (Al-Qaradawi, 2003).
Ada suatu hadis menarik yang boleh dikaitkan dengan isu ini iaitu hadis berkenaan pendebungaan tamar. Pada suatu ketika, Rasulullah telah melewati suatu kawasan yang sedang dalam proses pendebungaan tamar, lalu Rasulullah mengatakan bahawa jika proses itu tidak berlaku, maka itu adalah lebih baik. Lalu sahabat pun berhenti melakukan proses tersebut. Tahun yang mendatang tiba dan hasil tamar tidak banyak, lalu ia membuatkan Rasulullah bertanya kepada para sahabat tentang apa yang telah terjadi. Mereka mengatakan bahawa mereka hanya mengikut saranan Rasulullah untuk menghentikan pendebungaan tamar. Lalu Rasulullah pun bersabda bahawa itu hanya cadangan sahaja, dan kalian lebih tahu urusan keduniaan kalian (antum a’lamu bi umur dunyakum). Sahabat telah tersalah anggap bahawa saranan yang diberikan Rasulullah itu adalah berupa syariat agama, walhal ia hanyalah berdasarkan pendapat peribadi Rasulullah. Jika dikaitkan dengan konteks masa kini, kaedah perubatan yang terkini yang melibatkan vaksin mahupun ubatan, dan institusi kesihatan adalah dibolehkan selagi mana ianya tidak bertentangan secara jelas dengan syarak contohnya dengan penglibatan jin dan sebagainya kerana matlamat utama berkenaan sesuatu penyakit adalah untuk menyembuhkannya. Justeru, tindakan anti perubatan moden dan institusi kesihatan dan bersandarkan ‘makanan sunnah’ semata-mata adalah tidak seharusnya terjadi sekiranya seseorang memahami maqasid shariah disebalik penjagaan nyawa (hifz al-aql).
Secara kesimpulannya, pemahaman teks keagamaan yang rigid hanya akan mengakibatkan kerugian kepada penganutnya. Zaman telah berubah maka pemahaman kepada teks haruslah seiring dengan peredaran zaman tanpa mencabut ruh dan prinsip universal agama. Sikap moderat harus diambil demi memastikan agama tidak kelihatan kaku dan pada masa yang sama tidak berlebih-lebihan dalam mengikuti arus zaman sehingga menenggelamkan prinsip dan intipati agama. Tara Westover wajar menjadi inspirasi kepada sesiapa yang terperangkap dalam kitaran kebodohan yang melemaskan. Hanya jalan pendidikan yang boleh diambil untuk membebaskan diri daripada persekitaran yang berfikiran sempit dan dari individu yang mengambil kesempatan terhadap orang lain. Tara telah membuktikan bahawa walaupun beliau datang daripada keluarga yang merendahkan pendidikan, beliau berjaya meloloskan diri daripada pandangan tersebut dan berhasil mengejar cita-citanya apabila mempunyai sikap inkuisitif yang tinggi. Sebagai konklusi, pendidikan formal mahupun tidak formal bakal memberikan impak kepada cara berfikir seseorang. Kedua-duanya sama penting untuk memastikan individu bebas daripada penyakit kebodohan yang hanya dapat diubati melalui pendidikan. Justeru, pendidikan yang sebenar hanya dapat dicapai melalui insan yang adil, iaitu yang meletakkan sesuatu bersesuaian dengan tempatnya. Kelayakan seseorang berdasarkan sijil sahaja tanpa integriti masih belum mencukupi untuk menggelarkan seseorang itu sebagai pendidik yang beradab dan adil. Pendidik perlu mempunyai keikhlasan dan matlamat yang jelas dalam mendidik anak bangsa dengan melengkapkan diri mereka dengan pelbagai bidang ilmu dan memahirkan diri untuk menyampaikan ilmu dengan lebih efisyen. Mereka juga harus bijak berguru dengan mentor yang berkelayakan demi mencapai tujuan yang diharapkan.