Ibnu Sina, Avicenna atau Avisena?

oleh Mas Elizawati Mohammad Ali (Malaysia)

Beberapa minggu yang lepas, anak perempuanku bertanya dalam bahasa Inggeris, “Do you know Hospital Avisena?” Saya mengiyakan dan menyoalnya kembali, “Why do you ask?

Anakku pun bercerita bagaimana guru agama di sekolah memberitahu tentang Avisena adalah sebenarnya nama lain untuk tokoh Islam yang terkenal, Ibnu Sina. Saya pun mengesahkan bahawa Avisena (atau Avicenna) adalah nama Ibnu Sina yang dikenali di kalangan ilmuwan tamadun barat.

Anak perempuanku berasa keliru dengan penggunaan Avisena untuk nama hospital dan bukan Ibnu Sina seperti nama asal tokoh tersebut. Saya menawarkan pendapat bahawa nama Avisena lebih komersil dan sesuai untuk digunakan pada hospital yang akan dikunjungi oleh pesakit berbilang kaum dan agama.

Perbualan ini membuahkan ilham kepada saya untuk mempertengahkan tokoh-tokoh Islam di kalangan generasi baru supaya dapat dipupukkan perasaan bangga dan kagum dengan kejayaan para ilmuwan ini. Dengan memperkenalkan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang penting seperti sains, matematik, astronomi dan agama Islam, para pelajar boleh mendapat inspirasi untuk mengikuti langkah tokoh-tokoh terkenal ini.

Tiga tahun yang lepas, bekas sekolah rendah anak lelaki saya telah membuat keputusan untuk mengubah nama semua kelas kepada tokoh-tokoh Islam yang saya sendiri tidak tahu akan kewujudannya. Nama-nama seperti Al-Mahani, Al-Jazari, Al-Kharizmi, Al-Battani, Al-Saghani dan Al-Farabi telah digunakan untuk kelas-kelas yang sedia ada.

Walaupun pertukaran nama ini amat dialu-alukan, saya rasa ia lebih bermakna jika ia disusuli dengan sudut maklumat di kawasan sekolah untuk memperkenalkan para murid kepada tokoh-tokoh tersohor ini. Sebelum nama kelas diubah, beberapa nama planet telah digunakan untuk kelas-kelas ini dan ada sudut maklumat untuk menarik perhatian murid dan pengunjung.

Berbalik kepada Ibnu Sina, terdapat banyak informasi di alam siber untuk pengetahuan pihak umum yang ingin tahu dengan lebih lanjut. Di sini saya memberikan serba sedikit maklumat latar belakang mengenai Ibnu Sina yang telah saya temui di internet:

(1) Beliau lahir pada tahun 980 selepas Masihi di Afshana berdekatan Bukhara (ibu kota Empayar Samanid), Transoxiana (nama Latin untuk wilayah dan tamadun yang terletak di Asia Tengah yang lebih rendah kira-kira sepadan dengan Uzbekistan timur, Tajikistan barat, bahagian selatan Kazakhstan, bahagian Turkmenistan dan Kyrgyzstan selatan).

(2) Berbangsa Parsi (‘Persian’) dari kaum etnik Tajik, dia dilahirkan masa zaman Empayar Samanid iaitu sebuah empayar Muslim Sunni Parsi, yang berasal dari Iran Dehqan. Dehqan ialah kelas sosial yang terdiri daripada para pembesar pemilik tanah semasa zaman Sasanian dan awal Islam.

(3) Nama penuh beliau ialah Abu Ali al-Ḥusayn bin Abdullah ibn al-Ḥasan bin Ali bin Sina al-Balkhi al-Bukhari. Walaupun gelaran ‘Ibnu Sina’ dalam bahasa Arab bermaksud anak lelaki kepada Sina, Sina seperti dilihat di dalam ayat sebelum ini sebenarnya adalah nama buyut (‘great-great grandfather’) kepada beliau.

(4) Dikenali sebagai Bapa Perubatan Islam, beliau telah mengarang ensiklopedia perubatan penting dalam sejarah perubatan dunia. Dinamakan Al Qanun fi al-Tibb yang bermaksud Kanun Perubatan (atau dalam bahasa Inggeris, “The Canon of Medicine”), ia mengandungi 5 buku atau 14 jilid yang menerangkan punca kesihatan dan penyakit.

Juga dikenali dengan nama pendeknya ‘Qanun’, yang bermaksud “undang-undang” dalam bahasa Arab dan Parsi, Kanun Perubatan kekal sebagai rujukan perubatan yang tiada tandingannya sehingga abad ke-18 dan awal abad ke-19. Selain itu, Qanun secara tidak langsung telah menetapkan standard untuk perubatan di Eropah dan dunia Islam, dan merupakan karya bertulis Ibnu-Sina yang paling terkenal. Beliau telah mengambil masa lebih dari 20 tahun untuk menyiapkan Al Qanun fi al-Tibb yang menmpunyai lebih sejuta perkataan.

(5) Karya lain terkenal beliau termasuk sebuah buku yang diberi judul al-Adwiyat al-Qalbiyyah (“The Remedies of the Heart”) yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Kandungan buku tersebut menghuraikan 760 jenis penyakit dan cara untuk mengubatinya. Satu lagu kitab agung beliau ialah Kitab Al-Shifa’ (“The Book of Healing”) yang merupakan ensiklopedia saintifik dan falsafah yang merangkumi bidang logik, metafizik, sains semulajadi dan matematik.

(6) Selain perubatan dan falsafah, Ibnu Sina juga menulis secara meluas dalam bidang lain seperti astronomi, alkimia, geografi dan geologi, psikologi, etika, teologi Islam, dan fizik. Penguasaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau bukan sekadar menguasai sesuatu jurusan malah telah berjaya mencapai tahap kemuncak (zenith) iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburi.

(7) Dengan sumbangan akademik yang banyak meliputi 456 karya dalam bahasa Arab dan 23 dalam bahasa Farsi, ia memanglah wajar untuk Ibnu Sina diiktirafkan sebagai Genius Sejagat (‘Universal Genius’). Kepandaiannya begitu terserlah sehingga beliau digelar sebagai Al-Shayk al-Rais (‘Putera di kalangan ulama’ atau ‘Prince among scholars‘) oleh para cendekiawan sezaman dengannya. Gelaran ini diberi kerana Ibnu Sina mempunyai daya ingatan yang kuat dan kepelbagaian pengetahuannya yang mendalam.

(8) Pada bulan Jun 1037, ketika menemani komander tentera dan pemerintah dinasti Kakuyid, Ala al-Dawla di medan tempur berhampiran Isfahan, Ibnu Sina diserang penyakit kolik teruk yang kerap kali dihidapi sepanjang hidupnya. Dia meninggal dunia tidak lama kemudian di Hamadan dan disemadikan di situ. Ia dipercayai bahawa beliau berusia 57 tahun ketika kematiannya.

Kehandalan dan kehebatan polymath Ibnu Sina memang dikagumi di serata dunia. Karya-karya agungnya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa asing dan menjadi rujukan berpengaruh dalam bidang perubatan terutama sekali. Sebagai orang Muslim, kita mestilah berbangga dengan kejayaan beliau di dalam pelbagai bidang dan kesungguhannya bekerja keras untuk menyiapkan buku-buku tersebut.

Nilai-nilai murni yang Ibnu Sina dan cendekiawan Islam lain pegang hendaklah dicontohi oleh generasi masa kini supaya dapat meraih kegemilangan yang telah dikecapi oleh golongan intelektual ini. Saya percaya pengenalan semula kepada para ilmuwan hebat Islam akan membuka jalan kepada penjanaan idea yang bernas di kalangan anak muda untuk mencapai skala kejayaan yang dapat menyamai ataupun menggantikan tokoh-tokoh sejarah Islam ini. Ayuh! Marilah kita bergegas mengenali cerdik pandai termasyhur Islam!

Leave a Reply