29 Rejab 1443H
2 Mac 2022

Wahai guru,
Kau pejuang
Kau pendita juga pujangga
Kau penglipur lara
Kau pengubat luka
Kau genggam bara api
Moga-moga marak kembali

Salam perkenalan buat rakan guru sekalian…
Tidak kira di tahap apa – dari pendodoi buaian ke menara gading, mahupun yang menuju ke liang lahad – ingin ku ungkapkan bicara bagi membangkitkan semangat para guru. Menjulang tinggi budi dan bakti seorang guru – dari yang mengajar ABC dan 123, mahupun yang mendidik ucapan Bismillah untuk si anak, sehinggalah ke mu’allim tersohor – Raja Ali Haji ataupun AkhShamsuddin – guru Mehmet pembuka kota Istanbul.

Kita adalah guru kerana jati diri guru itu adalah penimba ilmu yang tidak lokek dengan ilmunya. Seorang guru dikatakan lilin yang membakar dirinya – jauh sekali tidak! Ilmu itu bukan api – ianya cahaya, nur! Cahaya yang menjanakan daya kuasa pada guru.
Cahaya itu kuasa (energy) yang tidak bisa dilenyapkan dengan tangan ataupun hembusan mulut si pembenci kebenaran. Begitulah ilmu kebenaran.

Para rasul diutus Tuhan beribu tahun terdahulu membawa cahaya ilmu dan kebenaran. Risalah dari ahli falsafah mahupun rahib dan sami adalah peninggalan guru-guru hebat dalam sejarah manusia. Kitalah penyambung tradisi ilmu yang mementingkan keluhuran jiwa seorang guru. Kitalah citra adab dan akhlaq insan yang tidak tewas dengan arus baru yang membingungkan akal generasi masa depan sehingga mereka pantas mara ke depan, ke tepi dan mundur ke belakang dalam kegelapan.

Aku seorang guru.

Aku kenal jati diri ku. Aku tahu dari Tuhan datangku dan kepadaNya nanti pulang jiwa ku.

Berkurun sudah ilmu ini ternoda dengan pengaruh gelap yang dijana anggun api kolonisasi dan sekularisasi. Tidak ada air suci bisa kuteguk di muara sungai ini yang tidak terasa masin. Tsunami kolonisasi membawa ombaknya ke merata teluk, tasik dan sungai. Aku harus menyembur keluar air masin itu. Tapi bagaimana harus ku sucikan air dari lautan gelora dalam jiwaku?

Perjalanan ku bermula kini. Kusiapkan sebuah perahu, untuk menjelajah ke setiap penjuru kepulauan nenek-moyangku…mencari mata air. Air suci untuk dekolonisasi ilmu. Untuk jati diriku dan anak didikku.

Ayuh kita nukilkan Citra.Guru!

Dengan Tulus Ikhlas,
Khalina Mohammed Khalili

Dapatkan artikel baharu Citra Guru terus ke emel